JOHOR BAHRU: Siri Jelajah Jiwa SME di Johor Bahru membuka peluang buat usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk menimba ilmu bagi memperkasakan perniagaan mereka.

Malah, bagi usahawan yang terlibat dalam inisiatif itu, mereka turut menyifatkan jelajah berkenaan sebagai platform terbaik untuk melebarkan sayap perniagaan ke selatan tanah air.

Jelajah Jiwa SME yang berlangsung di pusat beli belah Toppen, Tebrau, turut membolehkan peserta mendalami cabaran dalam pasaran menerusi sesi perkongsian daripada pakar industri.

Para usahawan turut berpeluang mendapatkan input-input bermanfaat menerusi bengkel ilmu dan pameran.
Bagi Pengasas Jozie's Clotted Cream, Hussein Mohd Ariff, acara itu membuka peluang kepadanya untuk memperkenalkan produk kepada masyarakat.

"Terutama apabila kita memiliki sesuatu yang unik dan yang pertama memperkenalkannya kepada umum," katanya.

Sementara itu, Pegawai Strategik Alpha Stallion, Nur Aliyah Umar menjelaskan, mereka memulakan perniagaan dari platform media sosial dan kemudian menyertai program SME di bawah Astro AWANI.

"Saya rasa ini merupakan platform yang baik untuk perniagaan terutama bisnes kecil.

"Kita akan mengenal pasti produk yang hendak diketengahkan dan dari susunan media sosial, produk ini akan akan dibawa ke peringkat seterusnya," ujarnya.

Mengulas isu sama, Pengasas Savon De Marbella, Nur Farhanah Zainal mengakui pendigitalan sangat bagus untuk usahawan serta memberi pelanggan kemudahan untuk mengetahui produk yang dikeluarkan di media sosial.

Bagi Pengasas Clean It, Muhammad Yusrun Mahsus, Jiwa SME merupakan platform untuknya membuat rangkaian dengan pihak berkenaan dan pada masa sama berkenalan bersama pemilik reruai lain di acara berkenaan.

"Ahlamdulillah, hari ini memang ramai, diharapkan mereka yang berada di sekitar Johor boleh hadir ke sini dan meninjau pelbagai bisnes serta sesi perkongsian bersama SME," ujarnya.

Jelajah Jiwa SME kali ini berlangsung selama dua hari, sehingga Ahad.

Antara pengisian yang disajikan kepada para pengunjung melibatkan sesi perkongsian kejayaan usahawan-usahawan tempatan selain sesi bengkel bersama Unifi Business, TikTok Shop dan INSKEN.

Lebih istimewa lagi, pengunjung yang hadir akan dihiburkan antaranya dengan persembahan dari busker tempatan, Middle Groove dan acara-acara menarik.

Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui cabutan bertuah.