Joanne Kua, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif KSK Group dari Malaysia, telah disenaraikan dalam Emergent 25 yang diterbitkan buat pertama kalinya oleh Forbes Asia bagi memberi penghormatan kepada ahli perniagaan wanita serantau yang berjaya.

Kua, 33, yang juga merupakan Pengarah Urusan KSK Land Sdn Bhd, menyertai perniagaan insurans dan kewangan bapanya kira-kira tujuh tahun yang lalu.

Sejak itu, beliau telah mengubah KSK Group menjadi sebuah konglomerat dengan menambah portfolio pelaburan pembangunan hartanah dan teknologi, menjadikan jumlah aset kumpulan mencecah sekitar US$410 juta (US$ 1 = RM3.93).

Editor Forbes Asia, Tim Ferguson, berkata wanita dalam senarai itu mewakili kumpulan baharu individu-individu yang berjaya meneroka pencapaian dalam senarai "Power Business Women" sebelumnya.

"Banyak had dalam sektor perniagaan di Asia Pasifik telah dipecahkan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Forbes Asia, senarai-senarai itu mencerminkan kesan yang telah dibuat oleh wanita dalam dunia perniagaan di Asia, mereka dipilih berdasarkan wang yang mereka jana, pengaruh, idea dan trend yang telah mereka buat.

Sementara itu, Kuok Hui Kwong, 40, anak perempuan kepada lelaki terkaya Malaysia, Robert Kuok turut disenaraikan.

Beliau mencatatkan kejayaan melalui aset terunggul bapanya, Shangri-La Asia, pada 2017, selepas mengambil alih dari abang beliau.

Sebagai Pengerusi Shangri-La yang tersenarai di Hong Kong, beliau memantau jumlah aset sebanyak US$13.2 bilion, merangkumi kepentingan dalam 77 daripada 100 hotel di seluruh dunia yang diuruskan oleh keluarga Kuok di bawah empat jenama iaitu Shangri-La, Kerry, Hotel Jen dan Traders termasuk perniagaan sampingan yang meliputi arak serta padang golf.

China menampilkan bilangan ahli perniagaan wanita paling ramai iaitu empat orang, diikuti dengan tiga, masing-masing dari Jepun, India dan Hong Kong. Indonesia, Singapura dan Korea Selatan masing-masing mencatatkan dua individu manakala Filipina, Vietnam, Australia, Taiwan dan Thailand, masing-masing satu.

Senarai penuh boleh didapati di www.forbes.com/emergent-25-businesswomen/ dan dalam edisi terbaru Forbes Asia. -- Bernama