Skip to main content

Bisnes

Softbank, Grab umum modal permulaan AS$1.85 bilion bangunkan infrastruktur AI Malaysia

Pprojek berkenaan akan dibangunkan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, selaras dengan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 (Negara AI 2030) untuk meletakkan Malaysia sebagai negara AI yang inklusif dan mampan, serta aspirasi pembangunan jangka panjang Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030. - Gambar FB Sarawakku
Pprojek berkenaan akan dibangunkan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, selaras dengan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 (Negara AI 2030) untuk meletakkan Malaysia sebagai negara AI yang inklusif dan mampan, serta aspirasi pembangunan jangka panjang Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030. - Gambar FB Sarawakku
Advertisement

SINGAPURA: SoftBank Group Corp dan Grab Holdings Ltd pada Isnin mengumumkan pemeteraian perjanjian pembangunan bersama berhubung rancangan menyediakan modal permulaan gabungan berjumlah AS$1.85 bilion (AS$1=RM4.06).

Ia bertujuan bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Malaysia bersama Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Dalam kenyataan bersama, ia memaklumkan, pelaburan gabungan itu merupakan sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk membangunkan kapasiti pengkomputeran AI di seluruh Sarawak dan Semenanjung Malaysia, dengan sasaran jangka panjang sebanyak lima gigawatt atau lebih.

Advertisement

Cadangan modal permulaan gabungan berjumlah AS$1.85 bilion itu merangkumi AS$1 bilion daripada SoftBank Group, AS$750 juta daripada Grab dan AS$100 juta daripada Petros.

"Kerjasama itu bertujuan membangunkan infrastruktur AI di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kapasiti pengkomputeran di seluruh Asia Tenggara dan di peringkat global.

Advertisement

"Apabila beroperasi sepenuhnya, kemudahan itu dijangka menjadi antara infrastruktur AI terbesar seumpamanya di Asia, menyediakan akses yang boleh dipercayai kepada keupayaan pengkomputeran canggih untuk kerajaan, syarikat multinasional dan perniagaan kecil," menurutnya.

Ia memaklumkan, pelaburan yang dicadangkan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, bergantung kepada sasaran yang dicapai terhadap projek pembangunan itu, kontrak yang dimeterai dengan pelanggan dan memenuhi syarat penyempurnaan yang ditetapkan.

Pengasas Bersama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan berkata, syarikat itu dan SoftBank merancang untuk membangunkan infrastruktur AI kritikal di Malaysia, iatu tempat di mana Grab bermula, bagi memenuhi keperluan di seluruh rantau Asia Tenggara.

 "Infrastruktur ini akan membolehkan kami mempercepat pembangunan penyelesaian AI yang disesuaikan dengan keperluan masyarakat tempatan.

"Melalui kerjasama ini, kami dapat mempercepat pembangunan dan penggunaan AI di rantau ini, sekali gus membawa manfaat transformatifnya kepada berjuta-juta orang, di samping menyumbang kepada ekonomi Malaysia menerusi penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan peningkatan kemahiran dalam bidang AI," katanya.

Menurut kenyataan bersama itu, projek berkenaan akan dibangunkan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, selaras dengan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 (Negara AI 2030) untuk meletakkan Malaysia sebagai negara AI yang inklusif dan mampan, serta aspirasi pembangunan jangka panjang Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.

Kemudahan itu akan beroperasi selaras dengan garis panduan penggunaan tenaga boleh baharu Malaysia dan dilengkapi dengan infrastruktur berkecekapan tinggi yang direka bagi mengurangkan penggunaan air dan kebergantungan terhadap grid bekalan elektrik tempatan.

"Selain pembangunan infrastruktur AI, pihak-pihak terlibat akan meneroka bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk sektor pembuatan termaju di Malaysia.

"Inisiatif ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang kejuruteraan, reka bentuk dan teknikal, di samping menyokong objektif Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB),” tambahnya.

Menurutnya, langkah itu juga akan membantu mempercepat penggunaan teknologi canggih, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh keupayaan tenaga kerja Malaysia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement