Ringkasan AI
- Ahli Kongres Republikan, Thomas Massie, mengemukakan usul memecat Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, atas dakwaan melanggar Perlembagaan berkaitan operasi tentera di Iran.
- Massie menuduh Hegseth membenarkan operasi ketenteraan di Iran lebih 90 hari tanpa kelulusan Kongres dan mengabaikan resolusi kuasa perang.
- Usul pemecatan dijangka sukar diluluskan kerana Republikan masih menguasai Kongres sehingga Januari depan, menurut laporan BBC.
WASHINGTON: Ahli Kongres Republikan, Thomas Massie, mengemukakan usul untuk memecat Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, atas dakwaan melanggar Perlembagaan negara itu berhubung penglibatan tentera AS di Iran tanpa kelulusan Kongres.
Massie berkata Hegseth telah membenarkan operasi ketenteraan di Iran selama lebih 90 hari tanpa kebenaran Kongres dan perlu dipertanggungjawabkan.
Usul itu dijangka sukar diluluskan kerana Republikan masih menguasai Kongres sehingga Januari depan, menurutu laporan BBC.
Namun, Massie berkata beliau mahu Presiden Donald Trump menggantikan Hegseth sebelum Demokrat mengambil alih Dewan Perwakilan dan Senat.
Hegseth pula dilaporkan tidak bimbang dengan langkah tersebut dan akan mengadakan sidang media bagi menjawab isu berkenaan.
Massie, yang lantang mengkritik perang Iran, berkata tindakannya bertujuan mengelakkan Demokrat menjadikan Hegseth sasaran siasatan dan perbicaraan yang lebih besar apabila mereka menguasai Kongres tahun depan.
Untuk menyingkirkan Hegseth, Dewan Perwakilan perlu meluluskan usul itu sebelum Senat mengadakan perbicaraan dan mengundi sama ada beliau harus disabitkan atau dibebaskan.
Dalam usul berkenaan, Massie turut menuduh Hegseth mengabaikan resolusi kuasa perang Kongres berkaitan tindakan ketenteraan AS terhadap Iran.
Penganalisis politik bagaimanapun berpendapat Hegseth lebih berkemungkinan disingkirkan oleh Trump sendiri berbanding melalui proses pemecatan di Kongres.