Skip to main content

Dunia

Perancis dakwa Iran dalangi serangan siber ke atas peti sejuk pasar raya

Peti sejuk beku kosong kelihatan di sebuah premis peruncitan selepas serangan siber menyebabkan beberapa unit peti sejuk beku di kedai berkenaan tidak dapat beroperasi di Stockholm, Sweden, pada 2 November 2026. - Gambar Reuters
Peti sejuk beku kosong kelihatan di sebuah premis peruncitan selepas serangan siber menyebabkan beberapa unit peti sejuk beku di kedai berkenaan tidak dapat beroperasi di Stockholm, Sweden, pada 2 November 2026. - Gambar Reuters
Advertisement

PARIS: Perancis pada Isnin mendakwa Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menjadi dalang di sebalik serangan siber yang menyasarkan sistem peti sejuk pasar raya di negara itu bulan lalu, sambil berikrar mengenakan sekatan di peringkat Kesatuan Eropah (EU) terhadap Tehran.

Menurut pihak berkuasa, serangan yang berlaku pada 11 dan 12 Oktober itu menjejaskan banyak pasar raya di Perancis apabila suhu peti sejuk dinaikkan secara tidak normal, memaksa sesetengah premis membuang keseluruhan stok makanan mudah rosak.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot berkata, beliau boleh mengesahkan bahawa serangan tersebut dilakukan oleh IRGC.

Advertisement

"Serangan ini belum pernah berlaku sebelum ini dari segi skala dan tahap agresifnya," katanya ketika menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar G7 di Paris.

Beliau menyifatkan insiden itu sebagai serangan sabotaj siber berskala besar pertama yang menyasarkan wilayah Perancis dan mengancam kepentingan nasional serta keselamatan rakyat negara itu.

Advertisement

"Kami akan melaksanakan sekatan di peringkat Eropah terhadap semua pihak yang bertanggungjawab," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, pendakwa raya Paris memaklumkan, siasatan kehakiman telah dibuka terhadap unit siber Shahid Kaveh, sebuah unit yang dikaitkan dengan IRGC dan didakwa terlibat dalam serangan berkenaan.

Pusat pemantauan siber yang menghimpunkan empat agensi keselamatan Perancis berkata unit itu lebih dikenali dalam dunia siber sebagai CyberAveng3rs, yang sebelum ini turut mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan lain.

Negara Eropah lain turut terjejas

Barrot berkata, serangan di Perancis menyasarkan kira-kira 700 lokasi pasar raya.

Bagaimanapun, insiden serupa turut dilaporkan di beberapa negara Eropah lain.

Pada 2 November lalu, rangkaian kedai runcit di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah dilaporkan mengalami serangan siber yang menyasarkan sistem peti sejuk beku mereka.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan di Eropah ketika pegawai keselamatan memberi amaran mengenai ancaman serangan siber yang semakin meningkat, termasuk risiko daripada aktor negara asing.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, operasi penerbangan di Eropah turut terganggu susulan ancaman bom palsu yang menyasarkan puluhan penerbangan, meskipun punca sebenar ugutan tersebut masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio yang turut menghadiri mesyuarat di Paris berkata, beliau tidak terkejut dengan dakwaan berkenaan.

"Mereka (Iran) telah melakukan perkara seperti ini sejak sekian lama," katanya sambil menyifatkan IRGC sebagai kumpulan revolusioner yang radikal.

Unit siber IRGC dikenal pasti

Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau berkata, siasatan telah dibuka terhadap ketua unit Shahid Kaveh serta dua timbalannya.

Beliau menyifatkan unit berkenaan sebagai pasukan siber ofensif yang bernaung di bawah Pusat Elektronik dan Siber IRGC (IRGC-CEC).

Menurut Pusat Penyelarasan Krisis Siber Perancis unit itu menjalankan, kempen berskala besar yang menyasarkan peralatan industri bagi tujuan sabotaj, khususnya terhadap Israel dan Amerika Syarikat, selain Perancis serta beberapa negara Eropah lain.

Pihak berkuasa turut menamakan Hamid Reza Lashgarian, Reza Salarvand dan Mahdi Lashgarian sebagai individu yang menerajui operasi tersebut.

Pendakwa raya berkata, penyerang dipercayai menguasai peralatan dari jauh melalui antara muka web bagi mencetuskan kitaran nyahbeku yang berpanjangan secara tidak normal, sambil melumpuhkan sistem amaran suhu yang sepatutnya mengesan kegagalan berkenaan.

Barrot berkata, Perancis telah memanggil Duta Iran di Paris untuk menyampaikan bantahan keras terhadap tindakan yang disifatkannya sebagai amat serius.

Menurut beliau, Perancis akan mengambil sebarang langkah tambahan yang perlu dan setimpal bagi menangani insiden tersebut serta menghalang usaha mengulanginya pada masa depan.

Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, pula menegaskan bahawa tindak balas blok itu terhadap serangan berkenaan perlu bersifat tegas. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement