JOHOR BAHRU: Johor merekodkan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM59.4 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun ini, merangkumi sektor pembuatan, pembuatan mesin serta elektrik dan elektronik (E&E).
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pencapaian bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan aliran pelaburan yang kekal positif ke negeri itu.
Katanya berdasarkan persekitaran ekonomi semasa, unjuran pelaburan perlu dibuat secara rasional dan lebih berwaspada bagi tempoh suku tahun seterusnya.
“Pada tahun ini, jumlah pelaburan yang masuk adalah sebanyak RM59 bilion pada separuh pertama (2026).
“Oleh itu, berdasarkan konteks semasa, saya fikir kita perlu lebih rasional dan unjuran itu (perlu dibuat) dengan lebih berwaspada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.
Mengenai prestasi tahun lepas, katanya ekonomi Johor merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak lapan peratus pada 2025, sekali gus meningkatkan saiz ekonomi negeri kepada RM170.9 bilion.
“Dari segi pertumbuhan tahun 2025 (iaitu) lapan peratus, ekonomi berkembang kepada RM170.9 bilion dan kadar pertumbuhan itu antara yang tertinggi untuk tahun lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menyampaikan peruntukan RM169,000 daripada peruntukan Parlimen berkenaan bagi meningkatkan kemudahan lima fasiliti kesihatan di daerah ini.
Sumbangan itu disalurkan kepada Klinik Kesihatan Tebrau, Klinik Kesihatan Majidee, Klinik Ibu dan Anak Majidee, Klinik Desa Antoi serta Klinik Kesihatan Larkin bagi menangani keperluan segera seperti penyediaan penyaman udara, pengecatan dan pemasangan awning.
Beliau berkata penambahbaikan kemudahan awam perlu bergerak seiring dengan perkembangan pesat ekonomi negeri serta cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 Majidee kini telah diperakukan dan tertakluk kepada kelulusan peruntukan Belanjawan 2027.
Projek baharu itu dirancang bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang beroperasi sejak 1971 bagi memenuhi keperluan lebih 198,000 penduduk setempat serta mengendalikan kira-kira 600 pesakit sehari secara lebih bersepadu.
-- BERNAMA