SINGAPORE: Inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM88.83 bilion bagi tempoh Januari 2025 sehingga Jun 2026 di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM40.30 bilion atau kira-kira 45 peratus pelaburan telah berjaya dilaksanakan di lapangan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pencapaian itu membuktikan JS-SEZ bukan sekadar memiliki potensi di atas kertas, sebaliknya mencerminkan komitmen sebenar kedua-dua negara dalam menterjemahkan perancangan kepada hasil konkrit.
"Bukan sekadar mempunyai potensi besar, tetapi cabaran sebenar dan komitmen kedua-dua negara adalah untuk menyampaikan prospek ini dengan hasil yang amat baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Menteri bagi Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) di Gardens by the Bay, pada Isnin.
Sidang media itu turut disertai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara dan Pengangkutan Singapura, Sun Xueling.
Menurut Akmal Nasrullah, projek-projek yang diluluskan berkenaan berpotensi mewujudkan sebanyak 28,755 peluang pekerjaan, dengan 12,796 daripadanya terhasil daripada projek yang telah mula dilaksanakan.
Bagi mengekalkan momentum positif tersebut, beliau memaklumkan Malaysia dan Singapura turut bersetuju untuk menganjurkan Forum Pelaburan Bersama (Joint Investment Forum) menjelang suku pertama tahun 2027.
Sementara itu, Chee berkata Singapura menyambut baik perkembangan positif projek pelaburan serta peluang pekerjaan yang telah diwujudkan setakat ini.
Jelasnya, minat berterusan daripada komuniti pelabur antarabangsa dan serantau terbukti hasil kerjasama erat yang terjalin antara Singapura, Malaysia dan kerajaan negeri Johor.
Kedua-dua pihak turut mengesahkan Pelan Induk (Master Plan) JS-SEZ berada di landasan tepat untuk dimuktamadkan dan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri kedua-dua negara pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura (Leaders' Retreat) Disember ini.