Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menetapkan tempoh bagi pematuhan mandatori pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) yang bertujuan untuk meningkatkan industri kepada standard global.

Menterinya Datuk Seri Mah Siew Keong berkata pematuhan itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan peserta perladangan, yang telah disahkan dengan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO), perlu mematuhi pensijilan MSPO pada 31 Dis, 2018.

Mereka yang tidak mempunyai pensijilan RSPO perlu mematuhi pada 30 Jun, 2019, manakala pekebun kecil pada 31 Dis, 2019.

"Kami akan menyediakan insentif kewangan pada Jun tahun ini untuk membantu pensijilan industri. Butir-butir sedang diusahakan," katanya kepada media selepas mengadakan perbincangan dengan enam anggota parlimen Eropah di sini pada Jumaat.

Pelaksanaan skim MSPO, yang bermula pada 1 Jan, 2015, kini secara sukarela.

Setakat ini, kawasan disahkan MSPO, yang terdiri daripada ladang dan pekebun kecil, meliputi 222,778 hektar daripada 5.737 juta hektar kawasan ditanam sawit.

Setakat Disember 2016, enam peratus daripada keluasan ladang sawit itu disahkan MSPO dan hanya 0.3 peratus daripada keluasan pekebun kecil disahkan MSPO.

Langkah menjadikan pematuhan mandatori bertujuan untuk menaik taraf keseluruhan industri, kata beliau dan menambah bahawa pematuhan mandatori juga merupakan langkah penting ke arah penjenamaan minyak sawit tempatan sebagai produk yang dihasilkan secara lestari dan selamat.

"Keputusan ini bukan mudah. Negara-negara lain terutamanya di Eropah mahu kita melakukan RSPO. Saya rasa adalah mustahil bagi pekebun kecil berbuat demikian.

"Kita mesti ada standard minyak sawit lestari kita sendiri kerana kita adalah negara pengeluar," katanya.

Sementara itu, isu-isu berkaitan industri minyak sawit Malaysia telah dibangkitkan anggota Parlimen Eropah itu pada pertemuan dengan Mah dan pegawai kementerian.

Anggota parlimen itu kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai industri perladangan negara.

Mah berkata lawatan berkenaan akan membantu Malaysia menyediakan langkah-langkah untuk menangani kempen terhadap minyak sawit di Eropah memandangkan terdapat usaha untuk memperkenalkan undang-undang anti minyak sawit di Parlimen Eropah tidak lama lagi.

Kesatuan Eropah merupakan pasaran kedua terbesar bagi minyak sawit Malaysia.

Pada 2016, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia ke EU meningkat 4.14 peratus kepada RM10.30 bilion daripada RM9.89 bilion pada 2015.

-- BERNAMA