Skip to main content

Dunia

COP 31 berakhir tanpa persetujuan, Presiden kritik sikap segelintir negara

Kurum berkata Turkiye telah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kata sepakat sepanjang rundingan berlangsung, sambil menegaskan bahawa krisis iklim tidak akan menunggu sehingga pertikaian diplomatik diselesaikan. - Foto fail/REUTERS
Kurum berkata Turkiye telah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kata sepakat sepanjang rundingan berlangsung, sambil menegaskan bahawa krisis iklim tidak akan menunggu sehingga pertikaian diplomatik diselesaikan. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Persidangan COP31 di Antalya ditutup tanpa mencapai persetujuan selepas dua minggu rundingan melibatkan 196 negara dan Kesatuan Eropah.
  • Presiden COP31, Murat Kurum, mengkritik beberapa negara kerana gagal menunjukkan fleksibiliti dan komitmen untuk mencapai kata sepakat.
  • Walaupun cadangan keputusan menyeluruh tidak diterima, Kurum menyifatkan inisiatif kerjasama sepanjang persidangan sebagai pencapaian berkekalan.
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-31 (COP31), Murat Kurum secara rasmi menutup persidangan itu di Antalya pada Ahad tanpa mencapai sebarang persetujuan, sambil mengkritik beberapa negara yang gagal menunjukkan fleksibiliti dan komitmen diperlukan untuk mencapai kata sepakat, lapor Anadolu Ajansi.

Kurum, yang juga Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim Turkiye mengumumkan bahawa cadangan keputusan menyeluruh tidak diterima pakai sebelum menutup persidangan selama dua minggu itu secara rasmi dengan mengetuk tukul persidangan.

"Malangnya, beberapa negara gagal menunjukkan usaha dan fleksibiliti yang dituntut oleh tanggungjawab bersejarah ini. 

Advertisement

"Kami mengiktiraf kepentingan keutamaan nasional dan menghormati keadaan setiap negara. Bagaimanapun, dalam isu sepenting ini yang melibatkan masa depan bersama, kami mengharapkan semua pihak memikul tanggungjawab lebih besar untuk mencari penyelesaian," kata beliau ketika sesi pleno penutup. 

Kurum berkata Turkiye telah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kata sepakat sepanjang rundingan berlangsung, sambil menegaskan bahawa krisis iklim tidak akan menunggu sehingga pertikaian diplomatik diselesaikan.

Advertisement

"Dunia tidak menunggu, bencana tidak menunggu dan generasi akan datang juga tidak menunggu," katanya.

Beliau turut menyifatkan Agenda Tindakan, perkongsian antarabangsa dan inisiatif kerjasama yang diwujudkan sepanjang persidangan itu sebagai pencapaian berkekalan, meskipun cadangan keputusan menyeluruh gagal diterima pakai.

"Saya menyerahkan apa yang berlaku di sini, rundingan yang menemui jalan buntu dan keseluruhan prosesnya kepada penilaian masyarakat dunia dan seluruh umat manusia," kata beliau. 

Sebelum mengetuk tukul sebagai simbol penutupan persidangan, beliau mengucapkan terima kasih kepada delegasi yang mengambil bahagian, rakan sejawat dari Australia dan Sekretariat PBB atas sumbangan mereka.

"Ketukan tukul ini akan menutup sesi persidangan, namun perjuangan kita akan diteruskan," kata beliau ketika mengisytiharkan penutupan rasmi COP31, CMP21 dan CMA8.

Persidangan itu menghimpunkan wakil dari 196 negara dan Kesatuan Eropah (EU) di Antalya, Turkiye bagi rundingan iklim selama dua minggu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement