Ringkasan AI
- Polis Indonesia mengesahkan 24 mayat ditemui dalam kebakaran kilang gula-gula di Banten, dengan kira-kira 30 individu masih hilang.
- Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan sukar akibat kebakaran belum dipadam sepenuhnya dan risiko runtuhan struktur bangunan.
- Sampel DNA sedang dikumpul daripada keluarga mangsa untuk pengecaman, sementara punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
JAKARTA: Angka korban kebakaran sebuah kilang gula-gula di wilayah Banten dijangka meningkat selepas pihak berkuasa Indonesia menemukan 24 mayat di lokasi kejadian, manakala kira-kira 30 individu masih belum dapat dikesan.
Menurut polis Indonesia pada Ahad, kebakaran yang tercetus pada Sabtu malam itu masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya, menyebabkan operasi mencari dan menyelamat terpaksa diteruskan dalam keadaan sukar.
Operasi berkenaan dijadual disambung semula pada pagi Isnin, namun pasukan penyelamat berdepan risiko runtuhan struktur bangunan selain beberapa bahagian kilang yang masih berasap.
Polis berkata keadaan mayat yang ditemui menyukarkan proses pengecaman kerana kesan kebakaran yang teruk menyebabkan identiti mangsa tidak dapat dipastikan secara visual. Justeru, jumlah sebenar korban masih belum dapat disahkan.
Bagi membantu proses mengenal pasti mangsa, sampel DNA sedang dikumpulkan daripada ahli keluarga individu yang dilaporkan hilang. Proses itu dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.
Pihak kilang dalam satu kenyataan memaklumkan kira-kira 300 orang berada di premis berkenaan ketika kebakaran berlaku.
Perkembangan terbaharu itu menyusuli laporan awal yang mengesahkan tiga kematian sejurus selepas kejadian.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.