Skip to main content

Dunia

Pelabuhan AS berdepan peningkatan cubaan serangan siber

Pelabuhan Corpus Christi di Texas dilaporkan berdepan ratusan malah ribuan cubaan serangan siber setiap hari. - Foto REUTERS
Pelabuhan Corpus Christi di Texas dilaporkan berdepan ratusan malah ribuan cubaan serangan siber setiap hari. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Pelabuhan utama dan syarikat perkapalan di Amerika Syarikat menghadapi peningkatan cubaan serangan siber, menimbulkan kebimbangan terhadap gangguan perdagangan global.
  • Pelabuhan Corpus Christi dan Los Angeles melaporkan ratusan hingga jutaan cubaan serangan siber, dengan insiden siber maritim meningkat 17 peratus tahun lalu.
  • Serangan siber turut menjejaskan operasi pelabuhan North Carolina dan menyebabkan kebocoran data di Maersk, namun operasi syarikat itu tidak terjejas.
Advertisement

ISTANBUL: Pelabuhan utama dan syarikat perkapalan di Amerika Syarikat (AS) berdepan peningkatan cubaan serangan siber, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan kepada laluan perdagangan global dan bekalan tenaga, menurut laporan Financial Times pada Ahad yang dipetik Anadolu Ajansi.

Pelabuhan Corpus Christi di Texas, pelabuhan eksport minyak mentah terbesar AS yang mengendalikan kira-kira 2.3 juta tong sehari, dilaporkan berdepan ratusan malah ribuan cubaan serangan siber setiap hari.

Ketua Eksekutif pelabuhan itu, Kent Britton berkata penggodam cuba mengesan kelemahan dalam rangkaian komputer selain menyamar sebagai eksekutif kanan menerusi mesej penipuan bagi mendapatkan akses tanpa kebenaran.

Advertisement

Serangan itu merangkumi cubaan automatik meneka kata laluan hingga kepada usaha lebih canggih untuk mencuri atau memusnahkan data.

Pelabuhan Los Angeles pula melaporkan berjaya menyekat 120 juta cubaan serangan siber pada Ogos, hampir dua kali ganda purata bulanan pada 2023, manakala Pengawal Pantai AS merekodkan peningkatan 17 peratus dalam insiden siber maritim tahun lepas.

Advertisement

Pada Ogos, Pengawal Pantai AS dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyiasat kemungkinan pencerobohan siber membabitkan dua kapal tangki yang menuju ke AS, masing-masing membawa minyak mentah dan gas petroleum cecair dari Mediterranean ke Galveston, Texas.

Rangkaian komputer kapal berkenaan dilaporkan diceroboh berhampiran Selat Gibraltar, menyebabkan pemeriksaan keselamatan dijalankan pada 21 dan 24 Ogos. 

Pihak berkuasa setakat ini belum mendedahkan identiti pihak yang bertanggungjawab.

Laporan itu turut mengetengahkan serangan siber terhadap North Carolina Ports pada Ogos yang menyebabkan operasi di pintu masuk pelabuhan tergendala sementara dan memaksa kakitangan beralih kepada pengendalian kargo secara manual.

Syarikat perkapalan gergasi Maersk turut mendedahkan insiden kebocoran data bulan ini, namun memaklumkan bahawa operasinya tidak terjejas dan kejadian itu tidak membabitkan perisian tebusan. 

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement