DUBAI: Lautan baju hijau terbentang di sepanjang Jalan Sheikh Zayed, Dubai pada awal pagi Ahad apabila pelari, mereka yang berjoging dan keluarga membanjiri lebuh raya yang lazimnya sibuk itu, lapor Xinhua.
Kira-kira 310,000 penduduk dan pelawat dari seluruh dunia menyertai Larian Dubai 2026.
Beberapa bahagian Jalan Sheikh Zayed ditutup kepada lalu lintas pada awal pagi bagi memberi laluan kepada acara yang menawarkan laluan lima kilometer (km) dan 10 km itu.
Laluan lima km melepasi Burj Khalifa, bangunan tertinggi di dunia, dan Opera Dubai sebelum berakhir berhampiran Pusat Beli-Belah Dubai. Laluan 10 km pula melintasi Jambatan Terusan Dubai dan diteruskan di sepanjang Jalan Sheikh Zayed, sebelum berakhir berhampiran Gerbang Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai.
Peserta daripada pelbagai peringkat umur dan tahap kecergasan boleh berlari, berlari-lari anak atau berjalan mengikut kemampuan masing-masing. Dianjurkan oleh Jabatan Ekonomi dan Pelancongan Dubai serta Majlis Sukan Dubai, larian itu merupakan acara utama Cabaran Kecergasan Dubai yang menggalakkan orang ramai agar lebih aktif.
Mary Ann, peserta kali pertama dari Filipina berkata beliau menyertai larian itu untuk berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan.
"Menyertai acara seperti ini telah menjadi tradisi bagi penduduk yang tinggal di Dubai. Melihat begitu ramai orang berkumpul, seronok bersenam dan kekal sihat sambil menikmati pengalaman yang baik menjadikannya bermakna. Ia baik untuk kita semua."
Mohamed Essam, dari Iskandariah, Mesir, berkata beliau berasa bertenaga selepas larian itu.
"Memulakan hari dengan berlari ialah cara yang hebat untuk bersenam dan menceriakan emosi. Suasana di sini juga sangat menyenangkan. Orang ramai saling membantu dan memberi galakan," katanya, sambil menambah bahawa acara itu memberi peluang kepada individu daripada pelbagai negara dan latar belakang untuk bertemu serta menjalin persahabatan.
--BERNAMA-XINHUA