KUALA LUMPUR : Co-opbank Pertama (CBP) menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih dari RM1 juta menerusi Kempen Hello CBP yang bermula dari 1 Januari 2023 sehingga 31 Disember 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, kempen tersebut ditawarkan kepada pelanggan sedia ada atau baharu yang melanggan produk-produk runcit di bawah pihaknya seperti Pembiayaan Peribadi Al-Yasser, Pembiayaan Perumahan Al-Amali dan Pembiayaan Ar Rahnu.

Selain itu jelasnya, pelanggan yang mempunyai Akaun Simpanan-i Salam dan juga Deposit-i Berjangka juga layak untuk menyertai kempen ini, tertakluk kepada terma dan syarat.

"Pelanggan yang bertuah berpeluang membawa pulang hadiah utama sebuah kereta BMW 2 Series Coupe 218i.

"Manakala untuk pemenang hadiah utama, pelanggan bertuah berpeluang untuk membawa pulang sebuah motorsikal BMW GS310. Turut ditawarkan juga adalah 10 pakej percutian kepada pelanggan.

"Selain itu, turut diadakan, cabutan berkala suku tahun iaitu tawaran hadiah  RM1,000 Akaun Deposit-i Berjangka bagi setiap suku tahun dan hadiah wang tunai untuk 10 pelanggan bertuah di setiap cawangan CBP," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Khairil Anuar menjelaskan, hadiah keseluruhan yang ditawarkan menerusi Kempen Hello CBP adalah hadiah tertinggi pernah ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan.

"CBP amat menghargai segala sokongan yang diberikan oleh pelanggan kami dan kami mengharapkan agar terus mendapat sokongan yang berterusan daripada pelanggan-pelanggan kami," ujarnya.

Dalam masa yang sama juga, beliau turut berkata bahawa CBP akan terus menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan yang terbaik kepada orang ramai sesuai dengan keperluan masyarakat di negara ini.