PETALING JAYA: Kemunculan penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mencuri tumpuan ramai di lokasi terakhir Jelajah Jiwa SME di The Curve, Mutiara Damansara pada Jumaat.

Penyanyi dan pengasas jenama SimplySiti dan Beausiti ini ketika ditemui Astro Awani memaklumkan berbesar hati diundang ke acara tersebut.

“Sudah tentu saya teruja nampak begitu ramai peminat yang datang untuk sesi meet & greet (beramah mesra). Seingat saya, dah lama saya tidak ada sesi begini.

"Mula-mula ingat 100 orang sahaja yang beratur. Alhamdulillah lebih daripada itu yang datang mendapatkan produk SimplySiti dan bergambar bersama,” katanya yang meluangkan masa lebih dua jam bersama para peminat sebentar tadi.

Dalam pada itu, Siti berharap agar penganjuran program bagi memperkasakan usahawan dalam kalangan anak muda terus diperluaskan.

Pelantun Aku Cinta Padamu ini turut menitipkan pesanan kepada usahawan muda agar tidak mudah putus asa dalam menjalani episod turun naik dalam perniagaan.

Sementara itu, Siti turut berterima kasih kepada Astro AWANI dan pihak terlibat dalam penganjuran Jelajah Jiwa SME.

Orang ramai dijemput hadir ke sesi terakhir jelajah jiwa SME yang berlangsung selama tiga hari di acara terakhir selama tiga hari di The Curve, Mutiara Damansara.

Antara tarikan buat pengunjung ke ‘Jelajah Jiwa SME’ terakhir ini adalah sesi perkongsian dan bengkel yang bakal diselang-selikan dengan nyanyian oleh penyanyi-penyanyi tempatan seperti Najwa Latif, Ronnie Hussein, Reedzwann dan Den Manjo bersama Fendi Kenali.

Selain itu, pengisian seperti perkongsian ilmu dan bengkel bakal turut disajikan dan ia terdiri daripada TikTok Shop Malaysia, Bank Rakyat, INSKEN dan Unifi Business.