PELUMBA sensasi Honda Castrol Power 1 Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar, melaung amaran awal dengan memberikan isyarat jelas kepada kecemerlangannya untuk mengisi kelompok hadapan menjelang perlumbaan pusingan kelapan Cub Prix Malaysia di Bandar Medini Iskandar Puteri esok.
Catatan masa terpantas 44.767 saat cukup untuk muncul pelumba terpantas dalam sesi kelayakan CP150.
"Saya mahu kekalkan ketekalan berada di podium.
"Walaupun cuba mengejar tempat pertama, saya masih perlu memikirkan soal keselamatan dan tidak gila-gila (dalam tunggangan)," katanya.
Sementara itu, kategori Wira KBS pula masih didominasi pelumba Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing Team, Nuzzul Ady Md Sudin, dengan catatan 46.871 saat.
Biarpun Nuzzul Ady sudah bergelar juara keseluruhan, namun dia terus bertekad meneruskan kecemerlangan dalam pemburuan takhta di Medini Iskandar Puteri.
Pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Md Khairi Asyraf, mengimpikan podium tengah di laman sendiri.
Biarpun genggaman juara keseluruhan sudah mustahil, namun kemenangan di tempat sendiri mampu mengubati luka yang berbekas setelah mencatat masa 45.367 saat dalam sesi kelayakan CP125.
"Ini trek kelahiran saya, saya mahu menang di tempat sendiri.
"Sokongan keluarga dan peminat tempatan membuatkan saya bertambah semangat untuk menghadapi perlumbaan esok," katanya.
- Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com