BISNES
Kepengerusian ASEAN 2025: Malaysia fokus perkukuh perdagangan serantau, global

Liew berkata, ASEAN dan GCC telah memeterai Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC 2024-2028 yang memberi tumpuan kepada sektor-sektor utama ekonomi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai Pengerusi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan integrasi ekonomi serantau diperkukuh dan menjadikan ASEAN sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata kementeriannya telah menetapkan beberapa Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) termasuk memuktamadkan rundingan naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dijangka ditandatangani pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Oktober ini.
"Rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) juga dijangka dimuktamadkan secara substantif menjelang penghujung tahun ini.
"Selain itu, Malaysia melalui ASEAN turut memperkukuh kerjasama dengan rakan luar termasuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China," jelas Liew ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.Beliau menambah, ASEAN dan GCC telah memeterai Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC 2024-2028 yang memberi tumpuan kepada sektor-sektor utama ekonomi.
Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, beliau berkata pengukuhan kerjasama ASEAN-GCC disenaraikan sebagai salah satu PED dan Deklarasi Bersama mengenai Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC yang dipersetujui pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua, Mei lalu dijangka menjadi pemangkin dalam perdagangan, tenaga, ekonomi digital dan pelaburan.
Berhubung situasi perdagangan global, beliau berkata Malaysia mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) pada 10 April lalu susulan pengenaan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).
"Hasil mesyuarat itu, ASEAN menegaskan pendirian untuk tidak melaksanakan sebarang tindak balas, sebaliknya memberi tumpuan kepada rundingan dua hala," kata Liew.
Mesyuarat itu juga bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) bagi memantau perkembangan ekonomi global, menilai risiko dan peluang serta menyediakan Laporan Integrasi ASEAN (AIR) sebagai rujukan penting untuk Pelan Strategik AEC 2026-2030.
Beliau menjelaskan perdagangan Malaysia dengan AS hanya menyumbang 13.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport bernilai RM1.508 trilion pada 2024.
Bagi menangani impak tarif, kerajaan antara lain sedang mengoptimumkan 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA), merundingkan FTA baharu dengan Kanada, Korea, Kesatuan Eropah (EU) dan GCC serta meneroka potensi dengan Bangladesh dan Sri Lanka.
Kerajaan turut memperluas promosi eksport termasuk ke bandar raya peringkat kedua di ASEAN, mengadakan misi perdagangan ke Asia Tengah, Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin serta mengukuhkan kerjasama dengan agensi promosi perdagangan negara luar.
"Kerajaan MADANI mengambil pendekatan tenang and terukur, pendekatan 'whole-of-government' dan tidak bersekutu bagi memperkasa agenda ekonomi negara dengan berdagang bersama semua negara termasuk kuasa besar dunia dan blok ekonomi utama," tegas Liew.
Selain itu, beliau berkata Majlis Pemandu Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) turut ditubuhkan untuk memantau dan menyelaras tindak balas terhadap perubahan landskap perdagangan global.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami