Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Halal Global: Masa depan industri halal Malaysia

71718599012_Ekonomihalalglobal.jpg
Halal mesti diangkat sebagai instrumen geo-ekonomi dan diplomasi strategik dalam pembentukan susunan ekonomi dunia yang baharu. - Gambar hiasan

MALAYSIA sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama ekonomi Islam dunia apabila mengekalkan keududukan pertama dalam Indeks Ekonomi Islam Global (GIEI) berdasarkan laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2025/2026. Ini adalah kejayaan Malaysia selama 12 tahun berturut-turut.

Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi kejayaan negara dalam mempertahankan kedudukan teratas selama lebih satu dekad mengatasi gergasi ekonomi dunia Islam yang lain seperti Arab Saudi, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Malahan, Malaysia kekal unggul bagi 4 sektor utama dalam indeks tersebut iaitu Sektor makanan halal, Kewangan Islam, Pelancongan Mesra Muslim dan Farmasi & Kosmetik. Kejayaan ini mencerminkan kematangan ekosistem halal negara yang merangkumi pensijilan halal, kewangan Islam, inovasi, tadbir urus dan pembangunan modal insan.

Namun, di sebalik angka dan kedudukan tersebut, satu persoalan strategik harus ditekankan iaitu apakah langkah kehadapanbuat Malaysia selepas bergelar nombor satu dunia?

Dalam landskap global yang sarat dengan ketidaktentuan geopolitik, perang dagang, krisis iklim dan hakisan kepercayaan terhadap institusi ekonomi konvensional, Malaysia memikul tanggungjawab yang tersendiri. 

Kita tidak lagi boleh sekadar menjadi pengeksport produk, sebaliknya wajib bertindak sebagai pembentuk norma dan standard baharu ekonomi global yang berpaksikan integriti serta kemampanan.

 

Kepercayaan: Mata Wang Berharga Ekonomi Global

Pada abad ke-20, kekuatan ekonomi diukur melalui kekayaan sumber asli, modal dan penguasaan teknologi. Hari ini, pasca-pandemik dan di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan dunia, pasaran global sedang menuntut satu nilai yang semakin sukar diperoleh iaitu ‘kepercayaan’.  

Pengguna dan pelabur kini mahukan sistem ekonomi yang lebih telus, beretika dan kebertanggungjawaban.

Di sinilah letaknya naratif sebenar industri halal Malaysia. Selama ini, halal sering disalah anggap sebagai isu keagamaan atau pemakanan semata-mata. 

Hakikatnya, halal adalah satu sistem tadbir urus komprehensif yang merangkumi soal kebolehkesanan, jaminan kualiti, keselamatan dan pengurusan risiko. 

Halal, dalam erti kata paling asas, adalah sebuah sistem pembinaan kepercayaan. 

Dalam dunia yang semakin “kontang“ nilai ini, instrumen yang mampu menawarkan ‘kepercayaan’ memegang nilai strategik yang sangat tinggi.

 

Kuasa Lunak (Soft Power)  Malaysia

Kuasa lunak bukan lagi asing dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan politik hari ini dan ia sangat penting bagi negara kecil berjiwa besar seperti Malaysia. 

Joseph Nye, pelopor teori hubungan antarabangsa, menyatakan bahawa kuasa lunak merupakan keupayaan sesebuah negara mempengaruhi pihak lain melalui daya tarikan idea, nilai dan norma tanpa elemen paksaan.

Jika Kesatuan Eropah (EU) berjaya mencorakkan dunia melalui standard ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dan China meluaskan pengaruhnya menerusi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Malaysia pula memiliki ramuan ampuh untuk membina pengaruh global melalui industri halal. 

Namun, ia memerlukan anjakan paradigma. Halal tidak boleh lagi dilihat sekadar logo pada bungkusan produk. 

Ia mesti diangkat sebagai kerangka tadbir urus “normative power” yang membolehkan Malaysia mencorakkan tingkah laku ekonomi global melalui piawaian acuan kita sendiri.

 

Ekosistem Halal Berteraskan ESG

Satu gelombang besar yang sedang melanda dunia korporat hari ini ialah pematuhan terhadap ESG. Menariknya, prinsip-prinsip ini bukanlah sesuatu yang asing dalam tradisi Islam.

Konsep “toyyib” menekankan aspek keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam, manakala prinsip 'adl’(keadilan), ihsan (kebajikan), amanah (integriti) dan hisbah (akauntabiliti) merupakan teras kepada tadbir urus yang baik. 

Selaras dengan objektif Maqasid al-Shariah,  instrumen-instrumen ini mampu berkongsi matlamat yang sama iaitu memelihara kesejahteraan manusia dan mengurangkan kemudaratan.

Oleh itu, Malaysia berpeluang menjadi pelopor global dengan memperkenalkan model Halal-ESG. Ia bukan bertujuan menggantikan ESG sedia ada, tetapi memperkayakan lagi konsep tersebut dengan menyuntik dimensi etika dan nilai kemanusiaan yang lebih universal, sekali gus memenuhi piawaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menekankan ketelusan dan pemudahan dagangan.

 

Meneroka Pasaran BRICS, Eurasia dan Global South

Selama ini, tumpuan dagangan halal Malaysia sering terarah kepada pasaran tradisi di Timur Tengah dan Eropah. Bagaimanapun, pusat graviti ekonomi dunia kini semakin  beralih ke arah Asia dan Global South. 

Penyertaan dan hubungan erat Malaysia dengan blok BRICS yang merangkumi negara seperti China, India dan Brazil dan lain-lain  mewakili hampir separuh populasi dunia. 

Pada masa sama, rantau Eurasia dan Asia Tengah seperti Kazakhstan dan Uzbekistan yang bergerak ke arah menjadi sebagai hab ekonomi baharu mempunyai potensi besar yang masih belum diteroka sepenuhnya. 

Rusia sendiri adalah pasaran halal yang besar dengan populasi lebih 20 juta umat Islam.

Bagi Malaysia, wilayah-wilayah dinamik ini bukan sekadar pasaran pengguna. Ia adalah destinasi untuk kita mengeksport kepakaran strategik. 

Dengan erti kata lain halal berpotensi besar menjadi rantaian penghubung diplomasi ekonomi dan peradaban yang menghubungkan ASEAN, BRICS, Eurasia serta Afrika pada abad ke-21.

 

Daripada Pengeksport Produk kepada Pengeksport Sistem

Masa depan industri halal Malaysia tidak lagi bersandarkan kepada nilai ringgit eksport produk fizikal semata-mata. 

Nilai premium yang paling sukar ditiru oleh negara pesaing ialah keupayaan kita mengeksport sistem dan kepakaran yang merangkumi aspek seperti sistem pensijilan bertaraf dunia, akreditasi badan persijian halal luar negara yang disegani, model tadbir urus (Halal Governance) dalam kerangka Halal-ESG, teknologi blockhain dan inovasi ekosistem. 

Jika Jepun terkenal dengan sistem pengurusan kualiti (Kaizen) dan Jerman bangga dengan kecemerlangan kejuruteraannya, maka Malaysia harus giat berusaha untuk diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan global bagi Tadbir Urus Halal.

 

Masa Depan Bermula Sekarang

Kedudukan Malaysia sebagai ekonomi Islam nombor satu dunia bukanlah sebuah destinasi akhir, melainkan satu titik permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Malaysia perlu berani melangkah setapak lagi, daripada sekadar ‘pengikut norma’ kepada pembentuk norma global (norm-setter). 

Halal mesti diangkat sebagai instrumen geo-ekonomi dan diplomasi strategik dalam pembentukan susunan ekonomi dunia yang baharu. 

Dalam era peralihan kuasa ekonomi masa kini, Malaysia memiliki peluang keemasan yang sukar diperolehi oleh mana-mana negara. 

Kita bukan sekadar memimpin sebuah industri, tetapi memimpin satu idea besar. Idea bahawa ekonomi yang maju dan menguntungkan tidak perlu mengorbankan prinsip etika, kemampanan dan kepercayaan. 

Jika visi ini berjaya direalisasikan, halal tidak lagi sekadar menjadi sektor ekonomi buat Malaysia, tetapi ia akan menjadi sumbangan terbesar negara kita kepada tamadun dunia.


* Prof Mohd Afandi Salleh adalah Pengerusi Halal Development Corporation (HDC) Berhad.

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

Must Watch Video

Advertisement