KUANTAN: Stadium Darul Makmur kembali bergema apabila lebih 30,000 penyokong memenuhi gelanggang itu bagi menyaksikan pelancaran Liga Rakyat Pahang First, Piala Al-Sultan Abdullah, sekali gus mengubati kerinduan peminat terhadap suasana meriah bola sepak Pahang.
Penganjuran julung kali liga tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam menghidupkan semula sukan bola sepak di peringkat akar umbi, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Baginda Sultan Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohd Kamal berkata, sambutan luar biasa yang ditunjukkan penyokong membuktikan minat terhadap bola sepak masih menebal dalam kalangan rakyat negeri itu.
"Kehadiran lebih 30,000 penonton pada malam pelancaran berbanding sekitar 7,000 hingga 8,000 sebelum ini jelas menunjukkan suntikan semangat baharu kepada pembangunan bola sepak Pahang," katanya.
Menurutnya, Liga Rakyat Pahang First akan bermula di peringkat daerah dalam tempoh dua minggu lagi, dengan setiap daerah menyertakan sekurang-kurangnya 12 pasukan bagi merebut Piala Al-Sultan Abdullah serta hadiah utama wang tunai RM40,000.
Pusingan akhir peringkat negeri pula dijadual berlangsung pada penghujung Ogos ini.
Sementara itu, keterujaan turut dirasai dalam kalangan penyokong yang hadir menyaksikan pelancaran bersejarah tersebut.
Seorang penyokong setia Pahang, Farin Salim menyifatkan kemeriahan yang kembali di Stadium Darul Makmur sebagai sesuatu yang telah lama dinantikan oleh peminat bola sepak negeri ini.
"Saya harap liga berkenaan dapat menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, mencungkil bakat baharu serta mengembalikan Pahang sebagai antara kuasa utama bola sepak negara," jelasnya.
Dalam aksi persahabatan sempena pelancaran liga, pasukan Pilihan Pahang berjaya menewaskan Pilihan Selangor 2-1 di hadapan puluhan ribu penyokong yang memenuhi stadium.