KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini menegaskan sebarang keputusan mengenai kadar dasar semalaman (OPR) tidak semestinya selari dengan bank-bank pusat lain sebaliknya lebih tertumpu kepada persekitaran ekonomi domestik.

Beliau ketika bercakap dalam sidang media hari ini menjelaskan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan terus menentukur dasar monetari bagi memastikan pertumbuhan domestik yang mampan termasuk kestabilan harga, selaras dengan mandat BNM.

"Saya nak tegaskan... kami tidak menetapkan OPR berdasarkan keputusan dasar monetari bank-bank pusat lain," katanya selepas mengumumkan keputusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku keempat 2022 di sini hari ini.

MPC mengekalkan OPR pada 2.75 peratus semasa mesyuarat pertamanya pada Januari 2023 selepas menaikkan kadar itu sebanyak 25 mata asas empat kali pada tahun lepas. Kenaikan terakhir ialah meningkatkan OPR kepada 2.75 peratus menjelang November 2022.

Nor Shamsiah berkata penangguhan sementara itu akan membolehkan BNM mendapatkan gambaran yang lebih jelas dan mengambil iktibar daripada kesan kenaikan kumulatif OPR pada 2022 serta mengambil kira persekitaran ekonomi dan impaknya terhadap prospek pertumbuhan serta inflasi.

Inflasi semasa Malaysia adalah hasil daripada gabungan faktor penawaran dan permintaan.

"Walaupun kami tahu bahawa OPR mempunyai pengaruh yang terhad dalam menangani tekanan harga tolak kos, ia adalah alat penting untuk menguruskan tekanan permintaan. Kami telah melihat tekanan permintaan ini sejak ekonomi dibuka semula, yang menyumbang kepada penerusan dan penyebaran inflasi domestik.

"Ini merupakan cabaran yang dihadapi oleh banyak bank pusat di seluruh dunia, dengan ada yang menghadapi tekanan permintaan yang lebih mendesak daripada yang lain, oleh itu, dasar monetari yang agak agresif dipaksakan dalam ekonomi tersebut," tambah Nor Shamsiah.

Beliau ketika ditanya mengenai tanda-tanda tekanan dalam pembayaran balik pinjaman memberitahu bayaran balik pinjaman untuk perniagaan berada dalam aliran menaik manakala bayaran balik pinjaman oleh isi rumah sentiasa dikekalkan.

Kapasiti khidmat hutang isi rumah terus disokong oleh peningkatan pendapatan dan keadaan pekerjaan, penampan perkhidmatan pinjaman yang sihat pada nisbah perkhidmatan hutang median 37 peratus bagi pinjaman tertunggak dan ketersediaan bantuan bayaran balik yang berterusan, katanya lagi.

"Apabila anda melihat kekuatan mana-mana isi rumah atau perniagaan, anda perlu melihat kepada aset kewangan serta liabiliti kewangan. Hanya melihat kepada kenaikan OPR ke atas khidmat hutang mungkin tidak memberi gambaran keseluruhan kepada anda," katanya.

Di peringkat OPR semasa, dasar monetari Malaysia kekal akomodatif dan menyokong ekonomi.

"Kami mengakui keseimbangan antara risiko inflasi dan pertumbuhan, terutamanya dalam konteks persekitaran mencabar yang sedang kami hadapi," katanya.

-- BERNAMA