Skip to main content

Malaysia

Istilah agama tidak wajar digunakan untuk merendahkan individu - YADIM

Zamri berkata penggunaan istilah agama dalam wacana politik perlu berasaskan ilmu, ketepatan konteks dan adab. - Gambar fail
Zamri berkata penggunaan istilah agama dalam wacana politik perlu berasaskan ilmu, ketepatan konteks dan adab. - Gambar fail

Advertisement

PUTRAJAYA: Istilah yang mempunyai pengertian mendalam dalam Islam tidak wajar digunakan secara sewenang-wenangnya untuk melabel atau merendahkan individu hanya kerana perbezaan pendirian politik.

Ketua Pengawai Eksekutif Yayasah Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zamri Zainal Abidin dalam kenyataan hari ini berkata penggunaan istilah agama dalam wacana politik perlu berasaskan ilmu, ketepatan konteks dan adab. 

Beliau berkata perbahasan tentang penggunaan istilah “munafik” dalam Dewan Rakyat baru-baru ini menunjukkan pentingnya ketelitian dalam menggunakan istilah agama kerana terdapat perbezaan antara menjelaskan sesuatu sifat sebagai pengajaran umum dengan melabel seseorang berdasarkan pertikaian politik.

“YADIM berpandangan bahawa kritikan terhadap dasar, keputusan dan tindakan kerajaan merupakan sebahagian daripada pertanggungjawaban awam.

“Bagaimanapun, kritikan hendaklah disokong dengan bukti yang boleh dinilai, mengambil kira konteks serta memberikan ruang kepada penjelasan pihak yang dipersoalkan,” katanya. 

Zamri berkata penggunaan dalil agama juga perlu menepati maksud dan konteksnya agar tidak membawa kepada kesimpulan yang tidak wajar.

“Prinsip amanah, kejujuran dan integriti hendaklah digunakan secara konsisten terhadap semua pihak, sama ada kerajaan mahupun pembangkang,” katanya. 

Pada masa yang sama, beliau berkata setiap pihak perlu bersedia menilai tindakan sendiri dan menerima teguran yang berasas. 

“Kelemahan pihak yang menegur tidak secara automatik membatalkan teguran yang benar, sebagaimana dakwaan terhadap pihak yang ditegur juga perlu dinilai berdasarkan bukti.

“Penggunaan istilah agama secara tidak cermat boleh mengalihkan perhatian daripada isu sebenar, termasuk keberkesanan dasar, pengurusan kewangan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Zamri berkata penyebaran petikan tanpa konteks melalui media sosial turut berisiko mencetuskan salah faham serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap penyampaian agama.

Sehubungan dengan itu, wakil rakyat, pengamal media dan pengendali kandungan bertanggungjawab memastikan istilah agama digunakan dengan tepat serta maklumat disampaikan secara adil. 

“Sebarang kesilapan dalam penggunaan istilah atau penyampaian hujah perlu diperbetul secara terbuka dan bertanggungjawab.

“YADIM menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik perlu ditangani melalui hujah, fakta dan teguran yang beradab, bukannya pelabelan yang boleh menjejaskan hubungan masyarakat,” katanya.

Hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menarik balik perkataan "munafik" yang digunakannya ketika perbahasan sebelum ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement