KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menyelamatkan Tabung Haji (TH) dengan ‘bailout’ melebihi RM10 bilion akibat kerakusan penyelewengan bagi memulihkan kedudukan kewangan dan bukan untuk mengambil aset institusi berkenaan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan menegaskan, tiada aset yang dijual kepada bukan Islam mahupun kepada kaum Cina seperti yang difitnahkan oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menanamkan kebencian dan membuat hasutan.
Aset ini adalah hak milik Urusharta Jamaah, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, katanya pada sesi penerangan menteri mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH serta usaha dan tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi tersebut pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini.
Beliau berkata, TH berdepan dengan situasi genting apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti TH telah melebar kepada lebih RM10 bilion pada suku keempat 2018 dengan hanya tiga bulan untuk mencari penyelesaian.
“TH ketika itu adalah tidak solven dan perlu diselamatkan. Keadaan tersebut akhirnya memaksa Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan (bailout) TH dengan pelan penstrukturan semula bagi memulihkan kedudukan kewangannya supaya TH kembali solven serta kekal mampan untuk jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA