PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menggerakkan intervensi awal bagi memastikan 541 pekerja Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd yang bakal diberhentikan tidak berdepan tempoh pengangguran berpanjangan, menerusi bantuan perlindungan pendapatan, pemadanan pekerjaan dan latihan kemahiran.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata pendekatan "daripada kehilangan pekerjaan kepada pekerjaan baharu" dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memastikan kebajikan serta kelangsungan kerjaya pekerja terus terpelihara.
"KESUMA akan memastikan pekerja yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan diberikan sokongan sewajarnya dan tidak dibiarkan berdepan tempoh peralihan ini tanpa bantuan. Melalui Perkeso, intervensi akan digerakkan seawal mungkin bagi membantu mereka mendapatkan perlindungan pendapatan serta kembali ke pasaran pekerjaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan berkata JTKSM melalui Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Subang Jaya telah menerima Borang Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja (Borang PK) daripada syarikat pada 23 dan 27 Julai lepas serta menjalankan siasatan pada 27 Julai lepas.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati 541 pekerja, terdiri daripada 415 pekerja tempatan dan 126 pekerja asing, terlibat dalam pemberhentian yang akan dilaksanakan secara dua peringkat pada 31 Okt 2026 dan 31 Mac 2027.
Ramanan berkata pihak syarikat telah memberikan komitmen untuk menyelesaikan bayaran yang layak diterima pekerja termasuk gaji, gaji ganti notis, bayaran ganti cuti tahunan dan faedah penamatan kerja dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM64.38 juta.
"Sebagai tindakan susulan, Perkeso bersama JTKSM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Panasonic pada esok bagi menyelaras tindakan berkaitan perlindungan pekerja, kelayakan faedah dan intervensi penempatan pekerjaan.
“Antara bantuan yang akan disediakan khidmat nasihat dan bantuan permohonan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kepada pekerja yang memenuhi syarat kelayakan sebagai sokongan pendapatan sementara sepanjang tempoh peralihan pekerjaan," katanya.
Ramanan berkata Perkeso akan memulakan pemprofilan pekerja bagi menentukan keperluan individu sebelum menyediakan bantuan tuntutan faedah di bawah SIP, kaunseling kerjaya, padanan pekerjaan menerusi MYFutureJobs serta program temu duga bersama majikan yang mempunyai kekosongan.
Selain itu, beliau berkata pekerja yang memerlukan penyesuaian kemahiran akan ditawarkan program latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi meningkatkan peluang memperoleh pekerjaan baharu.
Sementara itu, beliau berkata JTKSM akan terus memantau pelaksanaan pemberhentian pekerja dan pembayaran faedah mengikut peruntukan undang-undang, termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya syarikat gagal memenuhi tanggungjawabnya.
Sebelum ini, Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic) menerusi kenyataan mengumumkan penutupan operasi pengeluaran dua produk yang akan memberi kesan kepada 400 pekerja menjelang akhir Mac tahun depan.
-- BERNAMA