Skip to main content

Politik

PRN Johor: Puad Zarkashi sah tidak pertahan DUN Rengit

41665441321_PuadZarkashi.jpg
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit Datuk Mohd Puad Zarkashi mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini. - Gambar fail

JOHOR BAHRU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit Datuk Mohd Puad Zarkashi mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini.

Mohd Puad, yang juga Speaker DUN Johor berkata beliau telah membuat keputusan itu sejak setahun lepas dan memaklumkan hasrat berkenaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dua minggu lepas.

“Usia adalah faktor utama. Saya sudah berusia 69 tahun. Kalau lima tahun lagi, saya akan berumur 74 tahun. Pada saya, tidak sesuai pada usia itu untuk bertanding lagi di kerusi DUN,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berpandangan bahawa hanya mereka yang berusia 50 tahun ke bawah wajar bertanding di kerusi DUN dan Onn Hafiz perlu diberi peluang memimpin barisan muda serta mentadbir kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, saya telah memberikan cadangan mengenai ciri-ciri pelapis yang perlu dipertimbangkan. Sudah tentu mesti berkelulusan, berakhlak, komited kepada perjuangan dan memahami hala tuju bangsa. Saya harap Onn Hafiz menerima dan melaksanakannya,” katanya.

Mohd Puad berkata beliau akan menyelesaikan beberapa tugasan yang perlu diberi perhatian sebelum penamaan calon, selain menzahirkan penghargaan kepada rakyat Rengit atas kerjasama yang diberikan serta menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan melantiknya sebagai Speaker DUN Johor.

Mohd Puad memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,920 undi pada PRN Johor 2022 dalam pertandingan empat penjuru. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 11 Julai manakala penamaan calon pada 27 Jun ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement