BUSINESS
Keuntungan bersih suku pertama Petronas Dagangan melonjak kepada RM293.5 juta

Petronas Dagangan berkata syarikat itu merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM409.2 juta bagi Suku Pertama 2025. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd melonjak kepada RM293.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2025, daripada RM226.04 juta dalam suku yang sama tahun lepas.
Ringkasan AI
- Keuntungan bersih meningkat: Petronas Dagangan mencatatkan keuntungan bersih RM293.5 juta bagi suku pertama 2025, meningkat daripada RM226.04 juta pada tahun sebelumnya, walaupun hasil keseluruhan menurun akibat pengurangan volum jualan dan harga purata.
- Faktor prestasi kewangan: Keuntungan sebelum cukai meningkat 25% berbanding suku pertama 2024, didorong oleh perbelanjaan lebih rendah serta aliran harga yang menggalakkan dalam segmen komersial.
- Strategi dan dividen: Syarikat berazam untuk mengekalkan keuntungan serta menghadapi tekanan inflasi dan perubahan pasaran. Petronas Dagangan turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 20 sen sesaham bagi suku pertama 2025, yang akan dibayar pada 21 Jun 2025.
Petronas Dagangan berkata syarikat itu merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM409.2 juta bagi Suku Pertama 2025, lebih tinggi berbanding Suku Pertama 2024 dan Suku Keempat 2024 masing-masing sebanyak 25 peratus dan 13 peratus, disumbang terutamanya daripada perbelanjaan lebih rendah dalam semua segmen, serta peningkatan kecil keuntungan kasar.
"Prestasi ini disokong lagi oleh aliran harga yang menggalakkan bagi segmen komersial", katanya.
Menerusi satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Azrul Osman Rani berkata keputusan suku tersebut mencerminkan kekuatan asas kumpulan dan hala tuju syarikat yang jelas.
"Kami terus berdisiplin dalam melaksanakan strategi kami untuk menyampaikan nilai, mengekalkan keuntungan dan memberi sokongan kepada pelanggan kami yang terus menyokong usaha kami.
"Ketika kami meningkatkan lagi libat urus bersama pelanggan dan kelebihan operasi kami, kami akan terus memanfaatkan prestasi hari ini sambil mengukuhkan ketangkasan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam pasaran pada masa depan," katanya.
Melangkah kehadapan, Petronas Dagangan berkata ia akan terus berwaspada terhadap potensi tekanan inflasi dan peralihan tidak langsung pasaran.
Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 20 sen sesaham biasa bagi Suku Pertama 2025, yang akan dibayar pada 21 Jun 2025.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami