Skip to main content

Malaysia

COP31: Malaysia mahu peranan aktif dalam pelan hala tuju iklim D-8

Menurut Arthur, usaha mencapai aspirasi iklim Malaysia bukan sahaja memerlukan komitmen domestik yang kukuh, malah turut bergantung kepada persekitaran antarabangsa yang kondusif.- Gambar Astro AWANI
Menurut Arthur, usaha mencapai aspirasi iklim Malaysia bukan sahaja memerlukan komitmen domestik yang kukuh, malah turut bergantung kepada persekitaran antarabangsa yang kondusif.- Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan cadangan pembangunan Pelan Hala Tuju Iklim dan Alam Sekitar D-8 bagi tempoh 2027 hingga 2030, yang dilihat berpotensi memperkukuh kerjasama antara negara anggota dalam menangani cabaran perubahan iklim secara lebih berkesan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, Malaysia turut berharap dapat memainkan peranan aktif menerusi Kumpulan Kerja Teknikal dan Platform Kerjasama D-8 bagi memperluas perkongsian pengetahuan, kepakaran teknikal serta pelaksanaan inisiatif bersama.

Menurutnya, kerjasama itu penting bagi membolehkan negara anggota meneroka penyelesaian terhadap cabaran iklim dan alam sekitar yang bersifat saksama, praktikal serta mampan.

Advertisement

“Malaysia mengalu-alukan cadangan pembangunan pelan ini. Malaysia melihat potensi besar D-8 untuk memainkan peranan lebih bermakna dalam penyelesaian iklim dan alam sekitar yang saksama, praktikal dan mampan.

“Malaysia juga berharap dapat terlibat secara aktif melalui Kumpulan Kerja Teknikal dan Platform Kerjasama bagi mengenal pasti peluang perkongsian pengetahuan, kerjasama teknikal serta inisiatif bersama yang memberikan manfaat praktikal kepada negara anggota,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Advertisement

Arthur berkata, pelan hala tuju berkenaan menyediakan pendekatan berstruktur bagi memperluas kerjasama dalam beberapa bidang keutamaan, termasuk adaptasi dan daya tahan iklim, peralihan tenaga bersih, pembiayaan iklim serta pemindahan teknologi.

Bidang lain yang turut diberikan perhatian ialah pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan ekosistem.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik penubuhan Platform Kerjasama Alam Sekitar dan Iklim D-8 yang bertujuan memudah cara dialog dasar, kerjasama teknikal, pertukaran maklumat serta penglibatan dalam perkara berkepentingan bersama.

Menurutnya, platform tersebut berupaya memperkukuh Kerjasama Selatan-Selatan melalui perkongsian pengalaman dan penerokaan peluang pelaksanaan inisiatif bersama.

“Kerjasama kita mestilah kekal inklusif, responsif terhadap keadaan negara masing-masing serta menyokong aspirasi pembangunan semua negara anggota D-8,” katanya.

Arthur turut mengalu-alukan penerimaan pakai Rangka Kerja Tindakan Peringkat Menteri Antalya mengenai Kerjasama Iklim dan Alam Sekitar D-8.

Beliau turut menggesa negara maju menunaikan komitmen pembiayaan iklim serta menerajui usaha menggembleng dana bagi membantu negara membangun melaksanakan tindakan iklim.

Tegasnya, usaha mencapai aspirasi iklim Malaysia bukan sahaja memerlukan komitmen domestik yang kukuh, malah turut bergantung kepada persekitaran antarabangsa yang kondusif.

Malaysia kekal komited mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050 menerusi peralihan tenaga, pembangunan industri rendah karbon dan pengukuhan dasar iklim negara.

Negara turut menyasarkan pengurangan mutlak pelepasan gas rumah kaca sebanyak 15 hingga 30 juta tan setara karbon dioksida menjelang 2035, berbanding tahun pelepasan puncak.

D-8 atau Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun merupakan platform kerjasama ekonomi yang turut merangkumi bidang perdagangan, teknologi, pertanian, tenaga, alam sekitar dan perubahan iklim.

Negara anggotanya terdiri daripada Malaysia, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan, Turkiye dan Azerbaijan.

Must Watch Video

Advertisement