KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sunway Bhd meningkat kepada RM1.30 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 daripada RM1.15 bilion pada tahun kewangan 2024, didorong oleh hasil dan prestasi lebih tinggi merentasi pelbagai segmen.
Hasil untuk tahun kewangan meningkat sebanyak 24.5 peratus kepada RM9.81 bilion daripada RM7.88 bilion sebelumnya disebabkan oleh prestasi operasi bertambah baik merentasi kebanyakan segmen perniagaan kecuali segmen pembangunan hartanah.
Advertisement
"Segmen pembangunan hartanah melaporkan hasil sebanyak RM1.45 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM393.9 juta untuk tahun kewangan 2025, mewakili hasil yang menyusut sebanyak 26.1 peratus dan keuntungan sebelum cukai sebanyak 13.6 peratus berbanding RM1.96 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM455.8 juta pada tahun kewangan 2024," katanya.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2025, keuntungan bersih kumpulan itu melonjak kepada RM502.35 juta berbanding RM334.33 juta dalam tempoh sama setahun lepas.
Bagaimanapun, hasil untuk suku keempat tahun kewangan 2025 merosot sebanyak 18.8 peratus kepada RM2.31 bilion daripada RM2.85 bilion sebelumnya disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah dan pembinaan.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Presiden Sunway Group Datuk Anuar Taib berkata prestasi rekod kumpulan itu menggariskan kecemerlangan operasinya dan memperkukuh peranan Sunway sebagai rakan kongsi pembinaan negara dipercayai.
"Melihat ke hadapan, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal berdaya tahan pada 2026, disokong oleh permintaan domestik yang stabil, aktiviti pelaburan kukuh dan perbelanjaan oleh pelancong lebih tinggi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Berdasarkan perkembangan ini, kepelbagaian perniagaan kumpulan itu berada pada kedudukan terbaikj untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan kitaran dan struktur di negara ini," katanya.
Beliau berkata Sunway optimis, pada masa sama berhati-hati untuk mencapai pertumbuhan pendapatan stabil pada tahun kewangan 2026, didorong oleh prospek memberangsangkan merentasi semua segmen perniagaan.
-- BERNAMA