BISNES
Kewangan Islam ASEAN dijangka lepasi AS$1 trilion menjelang akhir 2026 - Fitch Ratings

Fitch Ratings berkata, pertumbuhan industri itu terus diterajui Malaysia, Indonesia dan Brunei disebabkan populasi Islam yang ramai, dan peraturan yang menyokong. - Reuters
KUALA LUMPUR: Industri kewangan Islam di ASEAN dijangka melepasi paras AS$1 trilion menjelang akhir 2026 setelah mencecah hampir AS$950 bilion pada akhir separuh pertama tahun ini.
Agensi penarafan kredit Fitch Ratings (Fitch) berkata pertumbuhan industri itu akan terus diterajui oleh Malaysia, Indonesia dan Brunei disebabkan populasi Islam yang ramai, peraturan yang menyokong, akses kepada sukuk, dan potensi hubungan yang meningkat dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
"Malaysia merupakan pasaran perbankan Islam terbesar di ASEAN, dengan aset kira-kira AS$300 bilion dan pembiayaan Islam mewakili 42 peratus daripada jumlah sistem pembiayaan pada akhir separuh pertama 2025," kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Ia berkata Malaysia menerajui segmen dana-dana Islam ASEAN, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) melebihi AS$50 bilion dalam tempoh empat bulan pertama 2025, mencerminkan ekosistem kewangan Islam yang mantap, persekitaran kawal selia yang matang, permintaan yang kukuh dan pelbagai produk patuh syariah.Bagi Indonesia pula, aset perbankan Islamnya berjumlah AS$56 bilion pada empat bulan pertama 2025, mewakili tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan sektor perbankan.
Bank-bank Islam di Brunei memiliki aset bernilai hampir AS$10 bilion atau 63 peratus daripada jumlah aset perbankan pada akhir 2024, manakala satu-satunya bank Islam di Filipina memiliki aset bernilai AS$20 juta.
Dalam hal ini, pasaran dana Islam Indonesia dan Brunei lebih kecil, dengan AUM masing-masing berjumlah AS$3 bilion dan AS$500 juta.
Fitch Ratings juga memberitahu permintaan untuk kewangan Islam di ASEAN tidak sekata dengan kehadiran terhad di Singapura, Filipina dan Thailand, serta masih belum dibangunkan di Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar disebabkan populasi Islam yang kecil dan kekurangan rangka kerja kawal selia.
"Jika lebih banyak sistem kewangan yang saling berhubung, ia boleh menyokong kadar penembusan," katanya.
Agensi itu berkata sukuk terkumpul di ASEAN mencecah AS$475 bilion atau 16 peratus daripada pasaran modal hutang (DCM) pada akhir separuh pertama 2025, dengan Malaysia dan Indonesia menyumbang hampir keseluruhan terbitan, mewakili 47 peratus daripada pasaran sukuk global.
Sukuk terkumpul menyumbang 59 peratus daripada DCM Malaysia dan 18 peratus daripada DCM Indonesia, manakala sukuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga tertumpu di kedua-dua negara berkenaan.
Selain itu, Bursa Singapura merupakan lokasi penyenaraian sukuk dolar keenam terbesar di dunia dan sukuk terkumpul Filipina kekal mendatar sejak terbitan berdaulat sulungnya pada 2023, manakala sukuk Brunei pula kebanyakannya bersifat jangka pendek dan berdaulat.
Tiada sukuk yang diterbitkan di negara ASEAN yang lain.
Mengenai takaful, Fitch Ratings berkata Malaysia, Indonesia dan Brunei memiliki pasaran takaful yang paling mantap di ASEAN.
Berdasarkan pecahan di Malaysia, takaful am mewakili 21 peratus daripada pasaran insurans am pada suku pertama 2025, manakala takaful keluarga menguasai 39 peratus pegangan pada akhir 2024.
"Sektor takaful Indonesia menyumbang 8.4 peratus daripada jumlah premium insurans bagi tempoh empat bulan 2025, manakala pegangan di Brunei ialah 47.8 peratus pada akhir 2024.
"Sementara itu, Suruhanjaya Insurans Filipina telah mengeluarkan garis panduan untuk operasi tetingkap takaful pada 2024 dan produk mikro inklusif, termasuk takaful mikro pada 2025 dan memberikan lesen pengendali takaful pertama kepada dua penanggung insurans pada 2024," tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami