KUALA LUMPUR: KL Wellness City Sdn Bhd melancarkan satu revolusi berasaskan penjagaan kesihatan berkonsepkan perbandaran mampan yang pertama di Asia Tenggara

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Colin Lee berkata projek yang bertempat di Bukit Jalil itu
disasar untuk dibangunkan dalam tempoh 10 tahun dengan berkapasiti seluas 10.72 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) secara keseluruhan lebih RM11 bilion.

Jelasnya, usaha itu juga dapat menawarkan perkhidmatan kesihatan yang lengkap dan komprehensif sekali gus meningkatkan pengalaman penjagaan pesakit Malaysia mahupun antarabangsa.


“KL Wellness City akan mentakrifkan semula cara pesakit Malaysia dan antarabangsa menerima rawatan, dalam perbandaran yang mampan, dilengkapi rangkaian penawaran dalam aspek kesihatan, perubatan, kecergasan dan kesejahteraan,” katanya pada taklimat dan pratonton media mengenai projek itu pada Khamis.



Sementara itu, beliau berkata bagi mencapai sasaran tersebut di samping meningkatkan cara dan amalan mengendalikan perubatan profesional, KL Wellness merancang menubuhkan The Nobel Healthcare Park, sebuah kompleks perubatan dan kesejahteraan dengan GDV sebanyak RM1 bilion, sebagai hab sehenti daripada diagnosis hingga pemulihan. 

Jelasnya, hab penjagaan kesihatan ini ditubuhkan sebagai usaha bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi terkemuka untuk pelancongan penjagaan kesihatan global sekali gus dapat berpotensi menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.



“Diterajui oleh pasukan pengurusan yang kukuh dan berpengalaman dalam membina dan menguruskan hospital tertiari, konsep KL Wellness City sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan global utama untuk pelancong penjagaan kesihatan, selain matlamat Pelan Tindakan Industri Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021- 2025 yang bertujuan untuk meningkatkan pelancongan perubatan di negara ini.

“Penjagaan perubatan Malaysia merupakan antara yang terbaik di Asia Tenggara dan International Hospital kami dinilai berbanding hospital terkemuka di rantau ini, terutamanya Mount Elizabeth Novena di Singapura dan Bumrungrad International Hospital di Bangkok, kedua-duanya memberikan perkhidmatan kepada sejumlah besar pesakit antarabangsa.



“Kami yakin perancangan kami untuk perbandaran bersepadu sepenuhnya ini akan menyumbang ke arah pengalaman yang positif kepada mereka yang mencari kesihatan dan kesejahteraan di KL Wellness City,” katanya.  

KL Wellness City akan dilancarkan dalam dua fasa, dan setelah siap sepenuhnya, ia akan turut merangkumi menara pejabat, pusat peranginan persaraan dan pangsapuri perkhidmatan yang berteraskan kesejahteraan.

Fasa pertama disasarkan siap pada 2025.