Skip to main content

Malaysia

Dewan Rakyat: Peningkatan penyeludupan dadah bukan kerana pemansuhan hukuman gantung - PM

Anwar (foto) berkata antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah kelemahan kawalan di sempadan negara, khususnya laluan darat dan laut, selain ancaman yang kini turut melibatkan ruang udara. -Gambar fail/BERNAMA
Anwar (foto) berkata antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah kelemahan kawalan di sempadan negara, khususnya laluan darat dan laut, selain ancaman yang kini turut melibatkan ruang udara. -Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum dapat memastikan sama ada peningkatan kegiatan penyeludupan dadah dalam kuantiti besar berpunca daripada pemansuhan hukuman gantung mandatori bagi kesalahan berkaitan dadah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah kelemahan kawalan di sempadan negara, khususnya laluan darat dan laut, selain ancaman yang kini turut melibatkan ruang udara.

"Apakah kerana kita kurang hukuman gantung, menidakkan hukuman gantung? Belum dapat dipastikan kerana sebenarnya sempadan kita agak bolos di laluan laut dan darat, malah sekarang ini di udara.

Advertisement

"Sebab itu kita memperkukuh agensi AKPS (Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan) sebab kita tahu penyeludupan itu (berskala) besar," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada pemansuhan hukuman gantung bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 menjadi punca penyeludup semakin berani membawa masuk dadah dalam kuantiti besar kerana tidak lagi gentar terhadap hukuman berkenaan.

Advertisement

Bagi memperkukuh kawalan sempadan, Anwar berkata kerajaan meningkatkan peruntukan kepada AKPS daripada RM37 juta tahun ini kepada RM490 juta bagi perbelanjaan 2027.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha membanteras jenayah narkotik perlu dilaksanakan dengan lebih tegas dan menyeluruh memandangkan ancaman dadah sudah lama membelenggu masyarakat, termasuk di kawasan kampung.

Katanya, operasi penguatkuasaan setakat ini menyaksikan penahanan ramai individu yang terdiri daripada penagih, pengedar serta pihak yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Anwar turut memuji tindakan proaktif Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), dalam mengambil tindakan terhadap kumpulan haram serta sindiket jenayah rentas sempadan tanpa memilih bulu.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan turut memberi tumpuan kepada kegiatan pengedaran dadah dan perjudian dalam talian yang membabitkan beberapa kumpulan jenayah.

Menyentuh pengisian perjawatan AKPS, Anwar berkata proses penyerapan pegawai penguat kuasa daripada agensi berkaitan dilaksanakan secara telus berdasarkan skim tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa sebarang paksaan.

Katanya, tawaran sudah dikemukakan kepada pegawai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta PDRM.

"Sebahagian besar telah menerimanya (dan) ada juga tidak mahu terima, tetapi skim itu adalah skim kerajaan sedia ada," ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement