KUALA LUMPUR: Malaysia berusaha untuk menarik masuk ‘unicorn’ (pemula niaga) global ke negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai tapak teras Asia Tenggara bagi syarikat teknologi global menerusi Unicorn Golden Pass.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kemasukan syarikat ‘unicorn’ ke dalam negara mampu mencipta pekerjaan yang berkemahiran dan bernilai tinggi.

Unicorn merupakan terma yang merujuk syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion.

Dalam masa sama, Rafizi berkata, ia mampu membentuk satu saluran untuk bakal usahawan dan pemimpin kanan dalam bidang teknologi.

“Sebagai balasan, kami menawarkan pakej insentif, termasuk yuran yang dikecualikan untuk pas pekerjaan pengurusan kanan, sewa bersubsidi, kadar cukai konsesi ke atas keuntungan korporat, perkhidmatan penempatan semula dan sebuah 'startup concierge' yang menguruskan pendaftaran untuk permulaan,” kata beliau.

Rafizi berkata demikian semasa berucap pada Sidang Kemuncak KL20 2024 yang bermula hari ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

KL20 2024 dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sidang Kemuncak KL20 2024, yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi, bakal merangsang semula kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk pemula dan pemodal teroka, serta mengangkat Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 hab pemula terbaik global menjelang 2030.

Lebih 3,000 peserta terdiri daripada pelabur antarabangsa dan syarikat-syarikat pemula niaga dijangka menghadiri acara yang berlangsung selama dua hari itu.

Berucap lanjut, Rafizi berkata, di bawah Pas Inovasi pula, pihaknya sedang mencari untuk memperbesar kumpulan bakat berkemahiran tinggi dalam negara.

Jelas beliau, kerajaan memperkenalkan program pas pekerjaan pelbagai peringkat yang memberikan manfaat yang disesuaikan kepada pengasas, pengurusan kanan, bakat berkemahiran tinggi serta bakat am dalam teknologi.

Sementara itu, Rafizi berkata, Pelan Tindakan KL20 yang dilancarkan hari ini dijangka menjana penilaian tambahan syarikat pemula niaga mencecah RM400 bilion menjelang 2030, dengan sasaran pelaburan modal teroka (VC) tahunan mencecah RM750 juta.

Ujarnya, pelan tindakan KL20 menggariskan inisiatif baharu yang akan mempercepatkan bidang kritikal ekosistem merangkumi modal, bakat dan kualiti syarikat pemula niaga.

“Cita-citanya adalah menjadikan Malaysia destinasi pilihan bagi pertumbuhan modal peringkat awal; menjadi negara sebagai pusat usahawan bertaraf dunia dan bakat berkemahiran; serta menjadi hab bagi syarikat pemula terkemuka dunia yang ingin berkembang,” katanya.