Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipilih sebagai pemenang Anugerah 'Lapangan Terbang Besar Terbaik' oleh Pusat Penerbangan Asia Pasifik (CAPA) yang berpejabat di Sydney.

Anugerah itu yang sekali gus meningkatkan status KLIA dalam industri penerbangan dunia, disampaikan pada Sidang Kemuncak Penerbangan Asia dan Kongres Syarikat Penerbangan Kos Rendah, anjuran CAPA, di Singapura pada Selasa.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd., Datuk Badlisham Ghazali yang menerima anugerah itu, berkata perakuan ke atas KLIA sebagai lapangan terbang utama paling pesat berkembang di Asia Pasifik, dibuktikan menerusi pertumbuhan 19 peratus pergerakan penumpang tahun lepas.

"Dari segi pertumbuhan penerbangan, kawasan Asia Pasifik berkembang pesat dengan separuh daripada pertumbuhan trafik udara dunia dalam tempoh 20 tahun akan datang dijangkakan datang dari kawasan ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Badlisham berkata Malaysia Airports merancang meningkatkan usaha sama dengan
syarikat-syarikat penebangan dan kerajaan bagi membawa lebih banyak trafik ke
Malaysia.