PUTRAJAYA: Bantuan kepada golongan asnaf membawa makna berbeza bagi setiap penerima, sama ada dalam bentuk barangan keperluan harian, kemudahan pendidikan mahupun peluang pekerjaan.
Menyedari keperluan itu, McDonald’s Malaysia menyalurkan zakat berjumlah RM2 juta bagi 2026, menjadikan jumlah keseluruhan zakat yang ditunaikan syarikat itu sejak 2017 sebanyak RM16 juta.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, jelajah penyerahan zakat yang dilaksanakan ke seluruh negara bertujuan mendekatkan syarikat dengan golongan penerima, selain memastikan bantuan disampaikan dalam pelbagai bentuk.
“Kita menjelajah ke semua negeri untuk membayar zakat dengan tujuan untuk mendekati penerima-penerima zakat.
“Dengan mendekati mereka, kita bukan setakat menyampaikan bayaran zakat. Kita juga menyampaikan Kotak Rezeki kepada mereka dan menawarkan peluang pekerjaan, selain menyampaikan sumbangan seperti komputer riba,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan zakat dan Kotak Rezeki di McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya Presint 2 yang turut dihadiri Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil serta Ketua Pegawai Eksekutif, PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pembayaran zakat korporat itu mencerminkan komitmen syarikat untuk menunaikan tanggungjawab terhadap golongan yang berhak menerima manfaatnya.
Beliau turut menghargai sokongan pelanggan, warga kerja dan rakan niaga yang menjadi sebahagian daripada usaha syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial serta membantu komuniti.
Menerusi program di Putrajaya, sebanyak 80 keluarga asnaf menerima Kotak Rezeki yang mengandungi barangan keperluan harian bagi membantu meringankan perbelanjaan mereka.
Dalam aspek pendidikan, 15 komputer riba turut disumbangkan kepada pelajar asnaf Kolej Profesional Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi memudahkan urusan pembelajaran, termasuk menyiapkan tugasan dan mengakses sumber pendidikan digital.
Menurut Azhar, sumbangan itu diharap dapat membantu pelajar meningkatkan pencapaian akademik menerusi kemudahan pembelajaran yang lebih baik.
Beliau berkata, usaha mendekati komuniti turut merangkumi penyediaan peluang pekerjaan dan pendidikan, selain program tahunan kembali ke sekolah yang menyediakan pek persekolahan percuma serta sambutan hari jadi untuk anak-anak yatim.
Dalam pada itu, Ahmad Fauwaz berkata, zakat mendidik umat Islam supaya bersyukur dan mengurus harta dengan penuh tanggungjawab, termasuk menunaikan kewajipan tersebut apabila cukup syaratnya.
Beliau turut menegaskan bahawa bantuan perlu disampaikan dengan penuh hikmah, menjaga maruah penerima serta mengambil kira keadaan sebenar mereka.
Menurutnya, bagi golongan yang berupaya, sokongan dalam bentuk pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan juga mampu membantu membina kehidupan yang lebih stabil.
Daripada jumlah zakat RM2 juta bagi tahun ini, sebanyak RM300,000 diserahkan kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Jelajah penyerahan zakat itu bermula di Kelantan pada Julai lalu dan Wilayah Persekutuan merupakan lokasi ke-10.
Jumlah agihan bagi setiap negeri pula ditentukan berdasarkan bilangan restoran McDonald’s yang beroperasi di kawasan berkenaan.
Selain itu, lebih 2,000 hidangan percuma disediakan kepada komuniti setempat menerusi empat restoran McDonald’s di Putrajaya dan Kuala Lumpur.