PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memastikan peruntukan Dana Latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berjumlah RM180 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) diuruskan dengan cekap.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dalam kenyataan hari ini berkata PTPK berusaha untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir atau terlepas peluang untuk melanjutkan pengajian dalam program TVET.

"Dengan pengumuman Belanjawan 2024 Malaysia MADANI 2024 ini, PTPK berjanji untuk melaksanakan tanggungjawab dengan komitmen yang tinggi dalam menguruskan peruntukan secara cekap.

"Tujuan utama adalah untuk menjamin kesejahteraan dan kebajikan kumpulan sasar, terutamanya yang dinyatakan dalam pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI," katanya.

Beliau berkata dana yang diterima akan membantu PTPK ke arah hala tuju yang lebih dinamik sebagai penyedia dana latihan kemahiran serta menyokong pemacu perubahan Rancangan Malaysia Ke-12 untuk meningkatkan ekosistem TVET bagi membangunkan bakat tersedia masa hadapan.

Sivakumar berkata belanjawan berkenaan merupakan bukti tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat Jumaat lepas mengumumkan PTPK diperuntukkan dengan Dana Latihan TVET RM180 juta untuk menyediakan pinjaman pendidikan kepada 12,000 pelatih yang mengikuti Program Persijilan Kemahiran.

Sebanyak RM20 juta daripada dana berkenaan dikhaskan untuk manfaat pelatih bidang maritim, kesenian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi sektor aeroangkasa.

-- BERNAMA