Ringkasan AI
- Perlawanan Liga Europa antara Besiktas dan Hapoel Beer-Sheva di Batumi, Georgia, terhenti 30 minit akibat insiden melibatkan penyokong mengibarkan bendera Palestin.
- Polis Georgia menggunakan semburan lada terhadap penyokong, menyebabkan perlawanan dihentikan sementara dan Besiktas mengecam tindakan kekerasan berlebihan tersebut.
- Persekutuan Bola Sepak Turkiye dan beberapa kelab utama menggesa siasatan serta menyatakan sokongan kepada penyokong Besiktas yang terlibat.
BATUMI: Perlawanan Liga Europa antara kelab Turkiye, Besiktas, dan wakil Israel, Hapoel Beer-Sheva, terhenti kira-kira 30 minit selepas polis Georgia bertembung dengan penyokong yang mengibarkan bendera Palestin di stadium.
Menurut laporan Al Jazeera, insiden berlaku pada minit ke-26 perlawanan yang berlangsung di Batumi, Georgia, sebelum permainan disambung semula. Besiktas kemudian mencatat kemenangan 2-1.
Media Turkiye melaporkan polis Georgia memasuki kawasan tempat duduk penyokong dan menggunakan semburan lada, menyebabkan pengadil dari Denmark, Morten Krogh, menghentikan perlawanan ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan.
Dalam satu kenyataan, Besiktas mengecam tindakan yang disifatkan sebagai penggunaan kekerasan berlebihan terhadap penyokong mereka.
Persekutuan Bola Sepak Turkiye turut mengutuk layanan terhadap penyokong Besiktas dan menggesa siasatan dijalankan berhubung insiden tersebut.
Perlawanan itu dipindahkan ke Batumi selepas pihak berkuasa Turkiye memaklumkan Istanbul tidak dapat menjadi tuan rumah atas faktor keselamatan.
Susulan kejadian itu, Menteri Dalam Negeri Turkiye, Mustafa Ciftci, dilaporkan menghubungi rakan sejawatnya dari Georgia bagi menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan terhadap penyokong Turkiye serta memastikan kepulangan mereka berlangsung dengan selamat.
Menurut pihak berkuasa Georgia, bendera Palestin yang dibawa penyokong itu dirampas oleh pegawai UEFA dan bukannya oleh pihak berkuasa negara berkenaan.
Sementara itu, beberapa kelab utama Turkiye termasuk Fenerbahce dan Galatasaray menyatakan sokongan kepada penyokong Besiktas yang terlibat dalam insiden tersebut.