FRANKFURT: Pemain skuad kebangsaan wanita Jerman, Laura Freigang, akan terlepas kejohanan Piala Dunia Wanita tahun depan di Brazil selepas digantung akibat gagal menjalani ujian doping, menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Freigang akan menjalani penggantungan sehingga 7 Okt 2027 susulan persetujuan yang dicapai bersama DFB, Agensi Antidoping Dunia (WADA) dan Agensi Antidoping Kebangsaan Jerman (NADA).
Prosiding terhadap Freigang berlangsung sejak beberapa bulan lepas.
Pemain berusia 28 tahun itu didakwa gagal berada di lokasi yang ditetapkannya bagi menjalani ujian doping sebanyak tiga kali antara Mac 2025 hingga Februari 2026.
Pada Jun, kapten Eintracht Frankfurt itu menjelaskan bahawa ujian yang terlepas itu "bukan disebabkan tindakan sengaja mengelak janji temu, sebaliknya berpunca daripada ketidakselarasan atau salah faham dalam butiran menyeluruh yang perlu dikemas kini setiap hari dan yang kami sebagai pemain skuad kebangsaan perlu kemas kini dalam sistem setiap hari dan setiap jam."
Freigang membuat 45 penampilan bersama pasukan kebangsaan Jerman dan menjaringkan 17 gol, namun sejak kebelakangan ini beliau bukan lagi pemain yang kerap diturunkan dalam kesebelasan utama.
-- BERNAMA-dpa