LAS VEGAS: Gergasi teknologi Jepun, Sony Group Corporation, mengumumkan ia tidak merancang untuk menyertai Consumer Electronics Show (CES) 2027 yang akan berlangsung di Las Vegas pada Januari depan, lapor Amanz.
Keputusan itu bakal menyaksikan kali pertama Sony tidak mengambil bahagian dalam pameran teknologi tahunan berkenaan sejak penganjuran sulungnya pada 1967, sekali gus menamatkan tradisi selama hampir enam dekad mempamerkan inovasi produk dan teknologi syarikat itu.
Pada CES 2026, Sony telah mula mengurangkan kehadirannya apabila tidak membuka reruai utama sendiri, sebaliknya menyertai pameran berkenaan menerusi entiti usaha sama automotifnya, Sony Honda Mobility.
Usaha sama itu sebelum ini digunakan bagi mempromosikan kenderaan elektrik (EV) Afeela. Bagaimanapun, projek berkenaan dibatalkan selepas Honda Motor Co menyusun semula strategi pelaburan dan pembangunan EVnya.
Keputusan untuk tidak menyertai CES dilihat selari dengan peralihan tumpuan perniagaan Sony yang kini semakin memberi penekanan kepada kandungan hiburan digital berbanding produk elektronik pengguna tradisional.
Syarikat itu kini menumpukan perhatian kepada ekosistem permainan PlayStation, muzik, filem, anime, pengurusan harta intelek (IP) serta pembangunan teknologi yang menyokong pencipta kandungan.
Transformasi berkenaan turut menyaksikan Sony melepaskan pegangan majoriti dalam perniagaan televisyennya menerusi penubuhan syarikat baharu, Bravia Inc.
Di bawah struktur tersebut, TCL Electronics Holdings Limited memegang 51 peratus kepentingan dalam Bravia Inc, manakala Sony mengekalkan 49 peratus pegangan.
TCL akan mengendalikan operasi termasuk pengeluaran, logistik dan rantaian bekalan global, sementara Sony terus bertanggungjawab terhadap teknologi imej, audio serta jenama BRAVIA.