KUALA LUMPUR: Imbangan akaun semasa (CAB) Malaysia meningkat sedikit 0.3 peratus kepada RM9.14 bilion pada suku ketiga 2023 berbanding RM9.1 bilion pada suku sebelumnya, ditingkatkan oleh eksport bersih barangan yang lebih tinggi, kata Jabatan Perangkaan Malaysia ( DOSM).

Lebihan yang lebih tinggi itu menyumbang 2.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), rendah sedikit daripada 2.1 peratus daripada KDNK pada suku kedua, katanya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata aliran masuk bersih berjumah RM14.9 bilion berbanding aliran keluar bersih RM11.6 bilion pada suku sebelumnya.

Dalam tempoh Januari hingga September, CAB mencapai lebihan RM22.5 bilion, manakala AkaunKewangan merekodkan aliran masuk bersih RM1.0 bilion, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata eksport bersih barangan meningkat kepada RM32.7 bilion pada suku ketiga daripada RM29.5 bilion pada suku kedua 2023, dengan eksport meningkat 2.2 peratus kepada RM260.4 bilion.

Import barangan turut menunjukkan peningkatan 1.0 peratus suku ke suku untuk mencapai RM227.7 bilion, terutamanya disumbangkan oleh barangan perantaraan. China, Singapura dan AS adalah sumber utama import Malaysia.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi RM7.2 bilion pada suku ketiga 2023 berbanding RM3.1 bilion pada suku sebelumnya.

"Penerima FDI terbesar ialah sektor perkhidmatan terutamanya dalam aktiviti kewangan dan perlombongan dan pengkuarian. Hong Kong, China dan United Kingdom merupakan sumber utama utama FDI," katanya.

Mohd Uzir juga menyatakan bahawa aliran keluar bersih pelaburan langsung di luar negara (DIA) meningkat kepada RM13.4 bilion berbanding RM8.0 bilion pada suku sebelumnya.

Penyumbang utama DIA adalah sektor perkhidmatan, khususnya dalam aktiviti kewangan, diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian serta pertanian; tiga destinasi utama ialah Indonesia, Angola dan Vietnam.

"Sehingga akhir suku ketiga 2023, FDI dan DIA terkumpul masing-masing berjumlah RM914.9 bilion dan RM659.6 bilion," katanya.

Jumlah aset kewangan berjumlah RM2,399.5 bilion berbanding jumlah liabiliti RM2,296.3 bilion.

-- BERNAMA