Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menetapkan lima ciri penentuan standard baharu dalam perdagangan dunia, dan pada masa yang sama mengurus isu generasi akan datang, termasuk akses pasaran.

TPPA memansuhkan atau mengurangkan tarif dan halangan bukan tarif merentas kesemua dagangan barangan dan perkhidmatan, demikian menurut teks akhir Perjanjian TPPA yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Perjanjian abad ke-21 itu merangkumi spektrum penuh perdagangan, termasuk perdagangan barangan dan perkhidmatan serta pelaburan bagi mewujudkan peluang dan manfaat baharu untuk perniagaan, pekerja dan pengguna.

Ciri penetapan kedua ialah pendekatan serantau terhadap komitmen.

"TPPA memudahkan pembangunan pengeluaran dan rangkaian bekalan dan dagangan yang lancar, meningkatkan kecekapan dan menyokong matlamat kami dalam mewujudkan dan menyokong pekerjaan, meningkatkan taraf hidup, meningkatkan usaha pemuliharaan dan memudahkan penyepaduan rentas sempadan, selain membuka pasaran domestik."

TPPA juga menangani cabaran baharu dalam perdagangan memandangkan ia menggalakkan inovasi, produktiviti dan daya saing dengan menangani isu-isu baharu, termasuk pembangunan ekonomi digital dan peranan perusahaan milik negara dalam ekonomi dunia.

Ciri penetapan keempat ialah keterangkuman perdagangan dengan TPPA memasukkan elemen baharu yang bermatlamat memastikan ekonomi di semua peringkat pembangunan dan perniagaan, dalam pelbagai saiz, memperoleh manfaat daripada perdagangan.

Ini termasuk komitmen untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana memahami perjanjian itu dan memanfaatkan peluang tersedia serta menonjolkan cabaran unik untuk perhatian kerajaan-kerajaan dalam TPPA.

Ia juga termasuk komitmen khusus ke atas pembangunan dan pembinaan kapasiti perdagangan bagi memastikan semua pihak dapat memenuhi komitmen perjanjian dan memanfaatkan kesemua kelebihannya.

Platform penyepaduan serantau merupakan ciri penetapan akhir.

Perjanjian itu mengambil maklum bahawa TPPA berperanan sebagai platform untuk penyepaduan ekonomi serantau dan dibangunkan untuk memasukkan negara lain di rantau Asia Pasifik.

Sementara itu, skop TPPA meliputi 30 bab yang merangkumi isu-isu perdagangan dan isu berkaitan.

Ia bermula dengan perdagangan barangan dan diteruskan kepada kastam dan kemudahan perdagangan; sanitari dan langkah fitosanitari; halangan teknikal kepada pedagangan, pemulihan perdagangan; pelaburan; perkhidmatan dan perdagangan elektronik.

Yang lain termasuk perolehan kerajaan; harta intelek; buruh; alam sekitar; bab 'mendatar' bertujuan untuk memastikan TPPA memenuhi potensi pembangunan, kompetitif dan terangkuman; penyelesaian pertikaian, pengecualian dan peruntukan institusi.

Selain itu, ia mengemas kini pendekatan tradisional ke atas isu yang dilindungi oleh perjanjian perdagangan bebas (FTA), TPPA menggabungkan isu perdagangan baharu dan isu bersilang.

Ini termasuk isu berkaitan Internet dan ekonomi digital, penyertaan perusahaan milik negara dalam pedagangan dan pelaburan antarabangsa, keupayaan perniagaan kecil untuk memanfaatkan perjanjian perdagangan dan topik lain.

TPPA menyepadukan pelbagai kumpulan negara - berlainan geografi, bahasa dan sejarah, saiz dan tahap pembangunan.

"Semua negara dalam TPPA memperakui kepelbagaian merupakan aset unik, malah memerlukan kerjasama rapat, pembangunan kapasiti untuk negara TPPA yang kurang membangun.

"Dalam sesetengah kes, tempoh peralihan dan mekanisme khusus yang menawarkan rakan TPPA masa tambahan, dibenarkan, bagi membangunkan kapasiti untuk melaksanakan obligasi baharu," demikian menurut perjanjian itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, dalam satu kenyataan hari ini berkata TPPA akan dibentangkan di Parlimen awal tahun depan untuk perbahasan.

Selepas lima setengah tahun berunding, Malaysia dan 11 negara lain, Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, US dan Vietnam, berjaya memuktamadkan rundingan TPPA pada 5 Okt, di Atlanta, Georgia, US.