KUALA LUMPUR: Berdasarkan kerajaan sedang meningkatkan inisiatif hijau dalam industri automotif, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mencadangkan insentif di bawah Belanjawan 2024 diberikan kepada semua jenis kenderaan elektrifikasi (xEV) berbanding hanya kenderaan elektrik (EV), sebagai langkah untuk mempopularkan xEV di Malaysia.

Presidennya, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata istilah xEV termasuk kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik hibrid pemalam (PHEV), kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV).

"Pendekatan langkah demi langkah bermula daripada HEV merupakan cara paling sesuai untuk menghentikan kenderaan enjin pembakaran dalaman konvensional sedia ada secara berperingkat.

"HEV adalah langkah pertama ke arah penggunaan kenderaan elektrik secara besar-besaran," katanya kepada Bernama.

Malaysia menyasarkan untuk mencatatkan 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi xEV menjelang 2030 dan 38 peratus daripada TIV menjelang 2040.

Bagi menyokong kadar penembusan EV, kerajaan mengumumkan bahawa EV di negara ini tidak akan dikenakan cukai jalan sehingga 31 Dis 2025.

Mohd Shamsor berkata MAA berharap insentif sedia ada untuk rebat RM2,500 dan pengecualian cukai jalan diperluaskan lagi kepada pembelian semua xEV untuk kenderaan penumpang dan komersial.

Bagi insentif baharu, katanya MAA mencadangkan pelepasan cukai pendapatan peribadi perlu diberikan untuk pembelian xEV dan pemasangan panel solar di rumah.

"Langkah itu akan menyokong campuran tenaga daripada kerajaan apabila tenaga boleh baharu akan membentuk 17 peratus daripada jumlah sumber tenaga menjelang 2040," katanya.

Bagi memacu pasaran xEV di Malaysia, katanya MAA amat percaya bahawa skim subsidi bahan api bersasar akan menjadi antara faktor kejayaan utama yang paling penting.

Mengenai perkembangan lain, Mohd Shamsor berkata MAA menghargai inisiatif kerajaan untuk melanjutkan pengecualian duti import dan duti eksais selama dua tahun bagi unit BEV jenis model import penuh (CBU) hingga 2025 dan unit BEV pemasangan tempatan (CKD) hingga 2027, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023.

Bagaimanapun, katanya MAA berpendapat bahawa tempoh insentif yang diberikan kepada perniagaan adalah agak singkat.

"Tempoh insentif yang diberikan kepada syarikat automotif perlu berdasarkan jangka panjang. Kami menggalakkan perundingan dengan pihak berkepentingan dan MAA mengenai tempoh insentif yang paling sesuai.

"Ini akan membolehkan pengedar tempatan dan prinsipal mereka di luar negara mengkaji, menyediakan dan merangka pelan pelaburan jangka panjang yang komprehensif untuk pasaran Malaysia," katanya.

Mohd Shamsor berkata industri automotif amat berteraskan modal, dan pelan perniagaan biasanya bersifat jangka panjang.

Katanya kebanyakan model kenderaan mempunyai jangka hayat minimum lima hingga tujuh tahun sebelum model baharu diperkenalkan dalam pasaran.

"Dasar jangka pendek dan/atau ad hoc memberi kesukaran kepada syarikat untuk merangka pelan bagi menilai kebolehlaksanaan perniagaan, terutamanya dalam memperkenalkan teknologi baharu dan lebih banyak model kenderaan berteknologi tinggi dalam pasaran tempatan.

"Ia juga mungkin tidak membantu membina keyakinan yang lebih baik dalam kalangan pelabur asing," katanya.

Belanjawan 2024 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt.

-- BERNAMA