KUALA LUMPUR: Kajian mengenai diat atau pampasan terbitan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan boleh dijadikan rujukan dalam memperincikan bayaran pampasan kepada mangsa atau waris yang terlibat dalam kemalangan akibat pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata kajian itu boleh menjadi panduan dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kemalangan membayar pampasan kepada mangsa atau waris.
Beliau berkata pihaknya menyokong penuh usaha kerajaan meminda akta berkenaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan atas penerbitan kajian mengenai Diat Kefahaman dan Pelaksanaan. Saya ada memberikan penjelasan secara ringkas kepada Menteri Pengangkutan mengenai diat ini,” katanya menerusi hantaran di Instagram semalam.
Pada 12 Okt lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya sedang menyediakan kertas dasar serta draf pindaan berkenaan bersama Jabatan Peguam Negara, dengan sasaran pembentangan pada persidangan pertama Parlimen tahun depan.
Beliau berkata mekanisme yang dicadangkan itu akan membolehkan mahkamah memerintahkan pembayaran pampasan dalam prosiding terhadap pesalah, tanpa memerlukan mangsa memfailkan saman sivil berasingan yang boleh mengambil masa panjang dan melibatkan kos tinggi.
-- BERNAMA