KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Mah Sing Group Bhd, Capitol Avenue Development Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat untuk membeli beberapa bidang tanah di Ampang dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM186.17 juta.
Pemaju hartanah tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan bahawa perjanjian itu melibatkan perolehan seluas 9.51 ekar daripada Chin & Tan Holdings Sdn Bhd bernilai RM122.62 juta, dan 4.86 ekar daripada Destar Nurani (M) Sdn Bhd bernilai RM63.55 juta.
“Cadangan pembelian ini akan mengukuhkan kedudukan kumpulan di Ampang dan memberi peluang kepada kumpulan untuk memperluaskan pembangunan rumah di kawasan bandar kepada penduduk tempatan yang sedia ada.
“Disokong oleh lembaran imbangan yang kukuh dan momentum berterusan projek M Series, Mah Sing kekal komited untuk memperluaskan operasinya melalui portfolio kediaman, komersial, hospitaliti, and perindustrian yang pelbagai,” menurut kenyataan itu.
Mah Sing juga mengumumkan projek kediaman baharu, M Araya, dengan susun atur yang fleksibel, berikutan kejayaan pelancaran kumpulan itu di sekitar Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
M Araya dijangka mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.92 bilion
“Cadangan pembangunan ini mensasarkan pelbagai golongan pembeli, termasuk profesional muda, pembeli rumah pertama, keluarga muda dan keluarga besar, serta pemilik rumah sedia ada yang ingin menaik taraf ke kawasan kejiranan yang mapan, menurut Mah Sing.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata pembelian itu seiring dengan strategi kumpulan untuk menambah rizab tanah di lokasi terbukti yang mempunyai infrastruktur sedia ada dan permintaan mampan.
Beliau berkata Ampang kekal sebagai salah satu pasaran kediaman paling matang di Lembah Klang, disokong oleh perhubungan yang kukuh, kemudahan yang komprehensif, dan populasi yang besar.
“Selepas berjaya menyiapkan M Suites and M City, kami memahami pasaran dengan baik dan kekal yakin dengan potensi pertumbuhan jangka panjangnya. Kami berbesar hati untuk mengukuhkan kehadiran kami dengan M Araya, projek ketiga kami di kawasan ini.
“Menerusi M Araya, kami berhasrat memperkenalkan kediaman moden yang direka bentuk dengan baik serta menghormati watak dan kekuatan kejiranan sekeliling sambil memenuhi keperluan pembeli rumah,” katanya.
Menurut pemaju itu, M Araya dirancang sebagai pembangunan pangsapuri servis dengan anggaran keluasan binaan antara 700 hingga 1,000 kaki persegi, dan harga indikatif bermula dari RM399,000.
-- BERNAMA