BEIJING: Presiden China, Xi Jinping, mengarahkan supaya usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang dipergiatkan sepenuhnya serta mangsa yang cedera diberikan rawatan perubatan dengan segera selepas gempa bumi bermagnitud 7.0 melanda sebuah daerah di barat daya Wilayah Autonomi Xizang, China, pada Khamis, lapor Xinhua.
Xi yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat menerusi arahan pentingnya menggesa supaya segala usaha dilakukan bagi meminimumkan jumlah kematian.
Gempa bumi itu melanda Daerah Baqen di Bandar Nagqu, Xizang, pada 10.33 malam Khamis.
Bencana itu meragut nyawa 16 orang dan mencederakan 65 yang lain, menurut pihak berkuasa tempatan.
Memandangkan kawasan terjejas terletak pada altitud tinggi dan mengalami suhu rendah, Xi menegaskan bahawa aktiviti seismik dan keadaan cuaca perlu dipantau dengan teliti bagi mengelakkan bencana susulan.
Usaha juga perlu dilakukan untuk menyediakan tempat perlindungan yang sewajarnya kepada penduduk terjejas, membaiki infrastruktur yang rosak secepat mungkin serta melindungi nyawa dan harta benda rakyat, kata Xi.
Perdana Menteri, Li Qiang yang juga anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat CPC, menggesa agar usaha pencegahan dan tindak balas bencana dilaksanakan dengan berkesan.
Kementerian Pengurusan Kecemasan serta pihak berkuasa di Xizang menggerakkan sumber bagi operasi mencari dan menyelamat serta bantuan bencana.
-- BERNAMA-XINHUA