Skip to main content

Bisnes

Malaysia berpotensi besar raih manfaat daripada peralihan struktur AI global

61741165142_tbSemiconductorchip.jpg
Industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia kekal sebagai sektor eksport terbesar negara, menyumbang kira-kira 48 peratus daripada jumlah eksport. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia berada berpotensi besar untuk meraih manfaat daripada peralihan struktur didorong oleh kecerdasan buatan (AI) global, disokong oleh kedudukannya sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, pengkhususan yang semakin meningkat dalam pembuatan semikonduktor bernilai lebih tinggi serta tarikan sebagai destinasi infrastruktur digital.

RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini memaklumkan bahawa industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia kekal sebagai sektor eksport terbesar negara, menyumbang kira-kira 48 peratus daripada jumlah eksport.

Malaysia menyumbang 6.9 peratus daripada eksport semikonduktor global pada 2023, kira-kira 13 peratus daripada aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor global dijalankan di negara ini, serta terlibat peringkat awal proses pembuatan cip silikon (wafer).

“Keadaan ini meletakkan Malaysia pada kedudukan kukuh sebagai hab penting dalam rantaian nilai semikonduktor global,” menurut kenyataan itu.

Bank pelaburan itu menyatakan bahawa komposisi eksport E&E Malaysia telah beralih ke arah produk semikonduktor bernilai lebih tinggi, dengan litar bersepadu elektronik merangkumi 56 peratus daripada jumlah eksport E&E, naik daripada 35 peratus pada tahun 2016, mencerminkan pengkhususan negara yang semakin meningkat dalam pembuatan semikonduktor dan komponen elektronik.

Penyertaan Malaysia dalam ekosistem AI melangkaui pembuatan semikonduktor, dengan pelaburan baharu diluluskan semakin tertumpu pada pembuatan bernilai tinggi serta perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), mencerminkan kemunculan negara sebagai ekonomi digital dan didorong data serantau.

“Permintaan utuh terhadap AI, pengkomputeran awan, pusat data dan keselamatan siber telah menarik pelaburan besar, manakala peningkatan pelaburan langsung asing ke dalam sektor ICT menggariskan tarikan Malaysia yang semakin meningkat sebagai destinasi untuk infrastruktur digital.

Melengkapkan ekosistem pembuatan semikonduktor yang mantap, pengembangan pesat pusat data, terutamanya di Johor dan Lembah Klang, mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai hab utama dalam rantaian bekalan AI global,” menurut bank pelaburan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement