Ringkasan AI
- Pasangan kembar OKU fizikal, Lau Sing Kiow dan Lau Siong Thai, menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Melaka di SJKC Malim.
- Mereka berharap kerajaan baharu akan meningkatkan bantuan dan kebajikan kepada golongan OKU, khususnya yang tidak mempunyai pekerjaan.
- Kakak mereka, Lau Siu Wah, menegaskan keperluan kerajaan baharu untuk mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira parti politik yang memerintah.
MELAKA TENGAH: Tidak meminta lebih, sekadar mengharapkan kehidupan yang lebih baik dan bantuan mencukupi untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Itu harapan pasangan kembar orang kurang upaya (OKU) fizikal, Lau Sing Kiow dan Lau Siong Thai, 63, yang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.
Mereka hadir bersama kakak, Lau Siu Wah, 65, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim kira-kira jam 10.15 pagi.
Berasal dari Taman Asahan, pasangan kembar itu sudah bangun seawal jam 7 pagi untuk membuat persiapan sebelum keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Bagi Siong Thai, pilihan raya bukan pengalaman baharu kerana sudah beberapa kali mengundi, namun tetap gembira dapat melaksanakan tanggungjawab demokrasi itu.
Di sebalik kegembiraan tersebut, kedua-duanya menyimpan harapan agar kerajaan yang bakal dibentuk terus memberi perhatian terhadap kebajikan golongan OKU, khususnya mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.
Menurut mereka, bantuan yang diterima ketika ini masih belum mencukupi untuk menampung keperluan harian, sekali gus mengharapkan jumlah berkenaan dapat ditambah baik.
"Tak cukup makan, tak cukup duit. Tak ada kerja. Mahu bayar lebih sikit," kata seorang daripada mereka ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
Sementara itu, Siu Wah yang menemani kedua-dua adiknya berharap kerajaan baharu dapat memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan tanpa mengira parti politik yang diberi mandat mentadbir Melaka.
"Memang nak better government. Siapa-siapa jadi pun tak apalah, asalkan jaga rakyat," kata Siu Wah.