KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai peluang besar untuk bergerak melangkaui peranan tradisional sebagai hab pemasangan dan ujian semikonduktor kepada pemain yang lebih signifikan dalam bidang pembuatan peralatan berketepatan tinggi, automasi industri dan teknologi bernilai tinggi.
Pengurus Besar Galatek Technologies Malaysia, Raining Zhang berkata negara telah membina asas kukuh dalam industri semikonduktor sejak beberapa dekad lalu dan kini berada pada kedudukan sesuai untuk memperluaskan keupayaan ke segmen lebih maju dalam rantaian nilai global.
Menurut beliau, transformasi ini bukan bermaksud menggantikan kekuatan sedia ada, sebaliknya memperkukuh dan mengembangkan keupayaan industri melalui pembangunan bakat, pengukuhan ekosistem serta inovasi berterusan.
“Malaysia telah menunjukkan keupayaan untuk menarik syarikat teknologi global. Fasa seterusnya bukan menggantikan kekuatan sedia ada, tetapi mengembangkan keupayaan ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi.
“Pembangunan modal insan dalam bidang robotik, automasi, optik, kecerdasan buatan (AI), perisian dan kejuruteraan ketepatan akan menjadi faktor penting dalam menjayakan transformasi ini,” katanya kepada Astro AWANI.
Pandangan itu disuarakan susulan pembukaan kemudahan pembuatan, pemasangan dan penghantaran pertama Galatek Technologies di Malaysia yang terletak di Perai Skygate, Pulau Pinang pada 12 Jun lalu.

Syarikat teknologi global itu sebelum ini mengumumkan sasaran pelaburan sehingga RM471.5 juta dalam tempoh lima tahun bagi mengembangkan operasinya di Malaysia.
Kemudahan tersebut akan menghasilkan serta menentukur sistem robotik dan optik berteknologi tinggi yang digunakan dalam industri semikonduktor, elektronik dan pembuatan maju.
Mengulas potensi yang bakal diwujudkan kepada tenaga kerja tempatan, Zhang berkata kemudahan di Pulau Pinang itu bukan sekadar pusat pembuatan, sebaliknya turut berfungsi sebagai platform pembangunan keupayaan teknikal dan inovasi jangka panjang.
Beliau berkata peluang terbuka luas kepada jurutera dan graduan teknikal Malaysia dalam bidang robotik, sistem automasi, kejuruteraan optik, pembangunan perisian, aplikasi AI, integrasi peralatan serta kejuruteraan aplikasi.
Pada masa sama, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan turut berpeluang menyertai rantaian bekalan melalui aktiviti pemesinan ketepatan, pembuatan komponen, perkhidmatan kejuruteraan, logistik dan sokongan teknikal.
Zhang turut menegaskan bahawa kehadiran Galatek di Malaysia berpotensi membuka laluan kepada syarikat tempatan untuk menembusi rantaian bekalan antarabangsa, termasuk pelanggan di Asia, Eropah dan Amerika Utara.
“Bagi syarikat seperti Galatek, kedekatan geografi sangat penting kerana ia membolehkan sokongan teknikal diberikan dengan lebih pantas, hubungan dengan pelanggan menjadi lebih rapat serta membuka peluang lebih besar untuk kerjasama penyelidikan dan pembangunan bakat.
“Pulau Pinang merupakan contoh terbaik bagaimana ekosistem industri yang lengkap mampu menarik pelaburan dan mewujudkan nilai jangka panjang,” katanya.

Menurut Zhang, Galatek tidak beroperasi secara bersendirian, sebaliknya menyasarkan integrasi dalam rangkaian inovasi dan pembuatan yang lebih luas bersama universiti, pembekal, syarikat teknologi dan rakan industri tempatan.
“Apabila Galatek berkembang di peringkat global, kami berharap dapat menghubungkan rakan tempatan dengan rantaian bekalan antarabangsa dan membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk terlibat dalam projek global,” katanya.
Mengulas masa depan tenaga kerja, Zhang berkata gabungan kemahiran kejuruteraan dan digital akan menjadi keperluan paling kritikal dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata kepakaran dalam automasi, analisis data, AI, sistem penglihatan mesin dan integrasi sistem akan menjadi semakin penting dalam pasaran pekerjaan.
Selain kemahiran teknikal, kebolehan menyelesaikan masalah, bekerja merentasi fungsi organisasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi turut menjadi faktor utama tenaga kerja masa depan.
Mengulas persaingan serantau dalam menarik pelaburan semikonduktor dan AI, Zhang berkata Malaysia mempunyai beberapa kelebihan strategik yang sukar ditandingi.
Antaranya termasuk ekosistem semikonduktor yang matang, tenaga kerja berkemahiran tinggi, lokasi strategik di Asia Tenggara serta komitmen kerajaan terhadap pembangunan industri bernilai tinggi.
“Malaysia bukan sahaja lokasi pembuatan yang penting, malah semakin berkembang sebagai hub inovasi dan teknologi yang mampu memainkan peranan lebih besar dalam rantaian nilai global,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kluster industri seperti di Pulau Pinang, yang mengumpulkan pengeluar, pembekal, universiti, penyedia logistik dan tenaga kerja dalam satu ekosistem berdekatan.
Keadaan ini membolehkan kerjasama lebih pantas, inovasi lebih cepat dan koordinasi rantaian bekalan yang lebih cekap.
Menurut beliau, pembangunan hub teknologi yang berjaya tidak berlaku dalam jangka masa pendek, sebaliknya memerlukan kerjasama berterusan antara industri, institusi akademik dan komuniti setempat.