KUALA LUMPUR: Anggota keselamatan perlu menggunakan segala peruntukan undang-undang yang tersedia bagi menangani ancaman jenayah, terutama apabila berdepan situasi mengancam nyawa ketika bertugas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu susulan insiden seorang anggota polis ditetak sehingga putus pergelangan tangan kanan dalam serangan di Kepong, Rabu lalu.
Beliau berkata kerajaan berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan dalam memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah.
Menurutnya, perkara berkenaan turut dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bagi memastikan insiden seumpama itu tidak dipandang remeh.
Jelas Perdana Menteri, tiada kompromi terhadap perbuatan jenayah dan anggota polis perlu menjalankan tugas dengan ketegasan berdasarkan kuasa yang diperuntukkan undang-undang.
“Kita beri sokongan kepada jentera dan pasukan keselamatan kita, supaya tegas, tidak boleh bertolak ansur dengan jenayah serta jangan dianggap hal ini mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah, Surau Brickfields, di sini, hari ini.
Katanya, undang-undang sedia ada menyediakan ruang kepada polis dan agensi keselamatan lain untuk mengambil tindakan bersesuaian mengikut keadaan ketika berdepan ancaman.
Insiden berkenaan berlaku di sebuah premis kediaman di Desa Aman Puri, Kepong, apabila anggota Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak diserang seorang lelaki warga asing menggunakan parang.
Serangan itu menyebabkan pergelangan tangan kanan anggota berkenaan terputus, sekali gus memerlukan rawatan kecemasan dan pembedahan kompleks.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut memuji pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang berjaya melaksanakan pembedahan menyambung semula pergelangan tangan anggota polis terbabit.
Beliau berkata kejayaan itu memperlihatkan kemampuan pakar perubatan tempatan mengendalikan prosedur rumit yang memerlukan kepakaran serta ketelitian tinggi.
“Saya ucap tahniah kepada seluruh pasukan HKL atas kejayaan melaksanakan satu pembedahan kompleks yang memerlukan kepakaran luar biasa,” katanya.
Perdana Menteri turut berharap proses pemulihan anggota berkenaan menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani pembedahan tersebut.
Pada Khamis, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pembedahan berkenaan mengambil masa lapan jam dan dilaksanakan pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri.
Pasukan itu diketuai Dr Allan Ravi Rajagopal bersama Dr Aziz Sabbir Husain dengan menggunakan mikroskop pembedahan bagi memastikan prosedur penyambungan dilakukan secara teliti.
Pasukan Neurosurgeri HKL turut bekerjasama dalam prosedur rawatan berkenaan bagi menangani kecederaan di bahagian kepala yang dialami Lans Koperal Thierry Rodger Fendy.
Kejayaan pasukan perubatan itu memberi harapan kepada anggota berkenaan untuk melalui proses pemulihan, selain menyerlahkan keupayaan kepakaran perubatan negara dalam menangani kes kecederaan serius.