KUALA LUMPUR: UMNO mengemukakan empat pilihan kepada DAP bagi menyelesaikan perbezaan pendirian dalam Kerajaan Perpaduan susulan isu pengampunan bersyarat serta tahanan di rumah melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pilihan pertama ialah mengaktifkan mekanisme pengantaraan menerusi Majlis Perundingan seperti diperuntukkan dalam Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan.
Pilihan kedua ialah menamatkan perjanjian berkenaan, namun beliau berkata tiada peruntukan sedemikian dalam perjanjian yang sepatutnya berkuat kuasa sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
“Justeru, kesimpulan yang jelas di sini ialah pembubaran Parlimen ke-15,” katanya.
Dua pilihan lain ialah DAP bertenang dan membenarkan aturan sedia ada diteruskan, atau memohon semakan terhadap Perenggan C dalam mukadimah perjanjian berkenaan.
Bagaimanapun, Azalina memberi amaran bahawa sebarang usaha menyemak perenggan itu boleh membawa kesan tidak dijangka terhadap kesinambungan kerajaan hari ini.
“Sebarang pertimbangan oleh DAP untuk menyemak Perenggan C dalam mukadimah perjanjian ini akan membawa kesan yang tidak dijangka terhadap kesinambungan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan gesaan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sekiranya tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas perkara itu, Azalina menyifatkan gesaan berkenaan tidak membantu memperkukuh semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jika terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan rakan gabungan, respons yang sewajarnya ialah dialog dan rundingan, bukannya tekanan awam atau tuntutan supaya meletakkan jawatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen parti-parti dalam Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan tidak bermaksud mereka perlu bersetuju tanpa syarat dengan setiap pendirian politik atau kenyataan Perdana Menteri mahu pun pemimpin parti lain.
Dalam isu pengampunan Najib, Azalina berkata kuasa pengampunan merupakan prerogatif perlembagaan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada prosedur dan aturan institusi yang ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan kuasa berkenaan tidak wajar digambarkan sebagai keputusan politik unilateral mana-mana parti, termasuk UMNO.
Pada masa sama, Azalina mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu yang meminta Setiausaha Agung parti itu meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pengampunan bersyarat Najib.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang dipersoalkan kerana dibuat secara unilateral tanpa rundingan terlebih dahulu, sekali gus mencetuskan ketidakstabilan politik dalam kalangan rakan gabungan.
UMNO turut menegaskan Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan tidak menghalang parti-parti komponennya daripada menjalinkan kerjasama politik dengan parti lain di peringkat negeri.
Menurut Azalina, kerjasama politik di peringkat negeri perlu ditentukan berdasarkan keputusan kepimpinan parti masing-masing serta keadaan politik semasa di negeri berkenaan.
UMNO pada masa sama menegaskan akan terus menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai keputusan politik kolektif demi kepentingan rakyat dan negara.
“UMNO akan terus menunaikan komitmen, menghormati kepimpinan Perdana Menteri dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan,” katanya.