Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Kempen Armand seperti 'cacing kepanasan' – AMK

Mohd. Shafiq berkata, tindakan Armand menggelar Anwar sebagai ‘strawberi’ dan ‘koyak’ membuktikan UMNO masih terperangkap dengan politik caci-mencaci yang pernah ditolak rakyat pada 2018. - Gambar fail
Mohd. Shafiq berkata, tindakan Armand menggelar Anwar sebagai ‘strawberi’ dan ‘koyak’ membuktikan UMNO masih terperangkap dengan politik caci-mencaci yang pernah ditolak rakyat pada 2018. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Armand Azha Abu Hanifah disifatkan seperti ‘cacing kepanasan’ apabila didakwa semakin lantang melontarkan gelaran menghina pemimpin negara di tengah-tengah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah berkata, tindakan Ketua UMNO Bahagian Subang itu menggelar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘strawberi’ dan ‘koyak’ membuktikan UMNO masih terperangkap dengan politik caci-mencaci yang pernah ditolak rakyat pada 2018.

“Kalau Armand mahu mengkritik Perdana Menteri, silakan. Tiada pemimpin yang kebal daripada kritikan. Tetapi gelaran yang menghina bukan pengganti kepada hujah yang berasas.

Advertisement

“Lebih menarik, Armand mendakwa kehadiran Anwar ke Melaka menyebabkan Barisan Nasional (BN) mendapat lebih banyak undi.

“Saya cabar Armand menjelaskan asas dakwaan tersebut. Adakah beliau mempunyai data tinjauan yang boleh diperiksa, atau sekadar membuat kesimpulan berdasarkan sambutan penyokong sendiri?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Dalam ceramah BN di Melaka baru-baru ini, Armand menggelar Anwar sebagai strawberi dan koyak kerana kempen-kempen yang dijalankan oleh BN.

Armand turut menyindir bahawa kedatangan Anwar ke Melaka menyebabkan BN meraih lebih banyak undi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, Pakatan Harapan (PH) akan mengutamakan pendekatan kempen secara aman sepanjang PRN Melaka.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafiq berkata, BN juga wajar menjelaskan sama ada kenyataan sebegitu mencerminkan pendekatan politik yang mahu dibawa oleh kepimpinannya.

Katanya, rakyat berhak menilai bukan sahaja dasar sesebuah parti, tetapi juga mutu wacana yang ditampilkan oleh pemimpinnya.

“Sejarah pilihan raya negara telah membuktikan bahawa keyakinan pemimpin dan keputusan pengundi tidak semestinya sama. Armand tidak perlu membuktikan siapa paling pandai memberikan gelaran.

“Beliau hanya perlu menjawab satu soalan: Di mana bukti bagi dakwaan politiknya? Jika ada, bentangkan kepada rakyat. Jika tiada, jangan persembahkan andaian sebagai fakta,” tegasnya. 

Must Watch Video

Advertisement