Infrastruktur kewangan Islam Malaysia menawarkan sistem yang komprehensif, dengan sistem perundangan dan prudential yang sangat baik kepada penggiat industri di seluruh dunia, kata penerima Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam 2016.

Prof Datuk Rifaat Ahmed Abdel Karim berkata faktor ini akan menjadikan Malaysia sebagai model ikutan kepada negara lain dan menarik lebih ramai orang ke sini untuk mendapatkan kepakaran dalam bidang berkenaan.

"Dari segi prudential, sebagai contoh, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 memberi penjelasan terperinci," katanya kepada pemberita.

Diperkenalkan oleh Bank Negara, akta itu bermatlamat meletakkan sektor kewangan Malaysia, merangkumi sistem perbankan, sektor insurans/takaful, pasaran kewangan dan sistem pembayaran dan pengantara kewangan yang lain, pada satu platform bagi membolehkannya menjadi sistem kewangan yang kukuh.

Mengenai cabaran dalam industri Islam, beliau berkata walaupun sumbangan Malaysia kepada kewangan Islam dunia masih kecil, jumlahnya tumbuh kukuh dengan dua angka.

"Ini akan menarik lebih ramai orang untuk datang ke negara ini kerana mereka menyedari ada potensi pertumbuhan di sini," katanya.

Rifaat Ahmed pada Isnin dianugerah Anugerah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sumbangan beliau dalam industri perkhidmatan kewangan Islam termasuk peranan persendirian beliau dalam mewujudkan dua badan penetapan standard antarabangsa -- Organisasi Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam dan Lembaga Perkhidamatan Kewangan Islam.

Pada 2012, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif International Islamic Liquidity Management, sebuah institusi antarabangsa yang ditubuhkan oleh bank-bank pusat, pihak berkuasa monetari dan organiasai pelbagai hala.

Objektif utamanya adalah untuk menerbitkan instrumen kewangan jangka panjang boleh dagang patuh Syariah denominasi dalam mata wang utama bagi memudahkan pengurusan mudah tunai dalam kalangan bank-bank Islam.

Penerima Anugerah Diraja berperanan sebagai model ikutan untuk memberi inspirasi kepada pihak lain bagi menyumbang kepada peningkatan industri itu.

Tiga penerima sebelum ini terdiri daripada Datuk Dr Abdul Halim Ismail, pengasas bank Islam pertama Malaysia (2014); Iqbal Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital (2012); dan Shaikh Saleh Abdullah Kamel, pengasas Dallah al Baraka Group, antara konglomerat terbesar Timur Tengah (2010). -- BERNAMA