Skip to main content

Bisnes

Malaysia perlu perkukuh ekosistem pembiayaan bantu syarikat tempatan berkembang -- Amir Hamzah

00001583049
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika Sidang Media Laporan Tahunan GEAR-uP 2026 di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia tidak perlu mewujudkan dana pelaburan baharu sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan antara ekosistem pembiayaan sedia ada bagi membantu syarikat tempatan berkembang, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, cabaran utama ketika ini bukanlah kekurangan modal kerana negara kini mempunyai lebih RM2.2 trilion modal tersedia, namun aspek yang perlu diperkasa ialah penyelarasan dan hubungan antara pelbagai mekanisme pembiayaan agar syarikat mempunyai laluan pertumbuhan yang jelas.

“Buat masa sekarang, saya rasa kita kena menekankan untuk meningkatkan lagi kesalinghubungan antara dana-dana ini kerana ‘pipeline’ (saluran) masih kecil lagi.

“Ia (dana) memang dah cukup, tetapi kadangkala orang tidak tahu mana nak pergi atau bagaimana nak mendapatkan pertolongan untuk meningkatkan daya saing yang ada,” katanya pada sidang media bersempena dengan penerbitan Laporan Kemajuan Program Pengaktifan dan Reformasi Perusahaan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata ekosistem pembiayaan perlu dilaksanakan secara lebih tersusun supaya syarikat tempatan dapat melalui setiap peringkat pertumbuhan dengan sokongan kewangan yang bersesuaian.

Katanya, perjalanan pembangunan syarikat perlu bermula daripada pembiayaan modal teroka sebelum berkembang kepada pelaburan ekuiti persendirian dan seterusnya menuju kepada penyenaraian awam dengan sokongan pelabur institusi.

“Daripada modal teroka yang mereka dapat, apabila mereka sudah menjadi lebih besar, mereka beralih ke peringkat seterusnya yang mana pelaburan ekuiti persendirian pula masuk. Kemudian sokongan akhir apabila sudah membuat penyenaraian, dengan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) bertindak sebagai ‘anchor’ kepada penyenaraian tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan memberi tumpuan memperkasa syarikat pertengahan menerusi GEAR-uP bagi membantu firma berpotensi tinggi berkembang ke tahap lebih tinggi dan berdaya saing di peringkat serantau.

Amir Hamzah berkata syarikat pertengahan merupakan segmen penting ekonomi negara kerana menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun sebahagiannya masih berdepan cabaran untuk berkembang disebabkan risiko pengembangan yang lebih besar.

Menerusi GEAR-uP, katanya, kerajaan bukan sahaja menyediakan akses kepada modal, tetapi turut membantu mengurangkan risiko proses pengembangan melalui pembangunan kapasiti bimbingan dan sokongan strategik bagi membantu firma tempatan melihat peluang pertumbuhan masa hadapan dan mengurus risiko dengan baik.

GEAR-uP ialah inisiatif nasional yang dilancarkan Kementerian Kewangan pada Ogos 2024 bagi memacu pelaburan domestik bernilai tinggi menerusi kerjasama GLIC dalam menyokong reformasi struktur ekonomi Malaysia selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Menurut Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini, Dana Pemacu, Dana Impak dan Dana Perintis diwujudkan bagi membimbing lebih banyak syarikat berkembang daripada peringkat modal teroka ke peringkat pertumbuhan, manakala Dana Ciptawan Khazanah akan ditambah sebanyak RM200 juta bagi memperkasa perusahaan Bumiputera dan syarikat pertengahan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement